Anda di sini

24.4 gram syabu ditemui disembunyi bawah tempat duduk motosikal

Advertisement
 Syabu yang ditemui disembunyikan bawah tempat duduk motosikal.
DITEMUI: Syabu yang ditemui disembunyikan bawah tempat duduk motosikal.

 

SANDAKAN: Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran berjaya menemui dadah jenis syabu di bawah tempat duduk sebuah motosikal semasa membuat rondaan di Jalan Lama Kota Kinabalu – Sandakan, Jumaat lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 20 PGA Beluran Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pihaknya yang diketuai oleh Sarjan Airee Muhamad bersama lima anggota membuat rondaan di jalan berkenaan.

“Kira-kira jam 8.30 pagi, pihak kita terserempak dengan sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki.

“Semasa cuba ditahan, dua lelaki terbabit bertindak melarikan diri dengan meninggalkan motosikal mereka,” katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap motosikal menjumpai dua paket dipercayai dadah jenis syabu yang disembunyikan dibawah tempat duduk motosikal berkenaan.

“Dadah dipercayai jenis syabu itu dianggarkan mempunyai berat 24.4 gram. Barang yang ditemui bersama motosikal terbabit kemudiannya dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Nasaruddin berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Bebahaya 1952.

Sementara itu dalam kes berasiangan, Nasaruddin berkata pihaknya menahan seorang wanita yang tiada pengenalan diri di Pusat Pemeriksaan Darat (RCP) Sapi Nangoh pada 4 Februari lalu.

Beliau berkata pihaknya diketuai oleh Inspektor Syamir Akmal Zainal Abidin bersama tujuh anggota menahan sebuah bas ekspres kira-kira jam 1.55 petang untuk pemeriksaan dan menahan wanita terbabit selepas didapati tiada pengenalan diri yang sah.

“Tangkapan kemudiannya dibawa ke IPD Beluran dan disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Pada hari yang sama, Nasaruddin berkata pihaknya yang juga diketuai oleh Inspektor Syamir Akmal bersama dua anggota membuat tinjauan di jalan tikus berhampiran RCP Sapi Nangoh telah cuba menahan sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki.

“Lelaki terbabit bertindak memberhentikan motosikalnya sebelum melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata motosikal itu kemudiannya dirampas dan diserahkan ke IPD Beluran untuk tindakan lanjut.

  • oleh
  • Advertisement