Anda di sini

Trek Berlin, Jerman bakal penentu buat Azizulhasni

 Azizulhasni bersama basikal yang akan digunakan pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Berlin Jerman ketika menjalani latihan intensif di Velodrom Nasional, semalam. — Gambar Bernama
YAKIN: Azizulhasni bersama basikal yang akan digunakan pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Berlin Jerman ketika menjalani latihan intensif di Velodrom Nasional, semalam. — Gambar Bernama

NILAI: Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Berlin, Jerman, pada 26 Feb hingga 1 Mac ini akan menjadi platform bagi skuad negara meraih satu lagi slot tambahan dalam acara keirin dan pecut individu pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang berkata justeru dalam usaha meraih sasaran itu, beliau serta Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Mohd Zonis perlu berada di kedudukan enam terbaik secara keseluruhan dalam acara pecut pada kejohan tersebut.

“Fokus pada kejohanan dunia adalah untuk mendapatkan satu lagi slot dalam acara pecut supaya di Olimpik Tokyo nanti kita dapat sekurang-kurangnya dua individu bersaing dalam acara keirin dan pecut,”  katanya pada sidang media mengenai persiapan skuad trek negara ke Berlin, di sini kelmarin.

Selain sasaran berada di pentas podium, katanya, beliau akan menggunakan kejohanan itu untuk melakukan sebarang pelarasan sebelum menghadapi Sukan Olimpik 2020.

Mengenai persiapannya menjelang kejohanan trek dunia itu, Azizulhasni berkata meskipun hanya 90 peratus pulih selepas terbabit dalam kemalangan pada siri Piala Dunia di Brisbane, Australia, Disember lalu, namun persiapan tetap diteruskan.

“Bahu saya masih sakit kalau latihan di gimnasium atau berkayuh di atas ‘roller’ tetapi kayuhan di gelanggang tidaklah menjejaskan, tetapi secara keseluruhannya persiapan sudah mantap,” katanya.

Pada kejohanan trek dunia, Azizulhasni akan bersaing dalam acara keirin, Fadhil dalam acara 1 kilometer ujian masa dan ketiga-tiga pelumba negara itu turut mengambil bahagian dalam acara pecut.

Ditanya mengenai tekanan yang dihadapi apabila dijadikan sandaran utama bagi meraih pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Tokyo, Azizulhasni, berkata perkara itu dijadikan sebagai tanggungjawab dan harus mengawal serta menerima tekanan yang diberikan.

Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dijadualkan bermula pada 22 Julai hingga 9 Ogos depan. — Bernama

Advertisement