Anda di sini

La Liga: Real Madrid alu-alukan kepulangan Hazard

Advertisement
HAZARD
HAZARD

MADRID: Real Madrid mungkin akan mengalu-alukan kepulangan Galactico mereka yang paling mahal pada hujung minggu ini dalam perlawanan di tempat sendiri menentang Celta Vigo, manakala Barcelona mesti menyesuaikan diri dengan kehidupan tanpa seorang lagi anggota skuad mereka yang paling mahal apabila mereka melayan kunjungan Getafe.

Eden Hazard dibeli oleh Real dengan harga 100 juta euro (RM480 juta) pada musim panas lalu, untuk mengatasi bayaran awal bagi Gareth Bale.

Setakat ini, Real belum lagi mendapat balasan bagi wang yang mereka bayar kepada Chelsea.

Pemain Belgium itu memulakan musim dengan masalah hamstring, kemudian patah tulang dalam kakinya ketika menentang Paris Saint-Germain dalam Liga Juara-Juara pada hujung November lalu. Sejak itu dia belum lagi bermain.

Dia dijangka diletakkan sebagai pemain simpanan untuk perlawanan menentang Celta.

Pasukan Galician itu naik dari zon relegasi pada Sabtu lepas dengan kemenangan di stadium sendiri ke atas Sevilla. Namun kemenangan Celta merupakan kemenangan tunggal mereka dalam enam perlawanan manakala Real, yang mutakhir mencatatkan lima kemenangan berturut-turut, merupakan pasukan paling hangat dalam liga.  

Bagi Hazard, dan bagi Real, Celta bukan sasaran, mahupun Levante yang menduduki bahagian tengah liga dan akan menentang mereka pada Sabtu depan.

Tarikh yang dibulatkan pada kalendar mereka adalah 26 Februari apabila mereka menentang Manchester City dalam perlawanan pusingan pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Selepas musim luruh yang sukar, Zinedine Zidane telah menyaksikan pasukannya bangkit dan soalan yang tidak henti-henti mengenai peranan Bale adalah perkara sampingan yang dia dapat ketepikan.

Satu lagi pasukan dalam perebutan yang sudah berubah menjadi persaingan dua ekor kuda tradisional di Sepanyol kelihatan kurang selesa.

Barcelona menduduki tempat teratas pada 25 Januari. Sekarang mereka ketinggalan tiga mata di belakang Real.

Mereka juga akan menentang sebuah kelab musuh tradisi di tempat sendiri pada hujung minggu ini.

Namun Getafe menjadi kejutan pada musim Sepanyol dan sudah memenangi empat perlawanan berturut-turut untuk naik ke tempat ketiga dan dapat mengurangkan jurang dengan tempat kedua kepada empat mata dengan kemenangan liga pertama di Barcelona.

“Tiada yang mustahil,” kata pemain pertahanan Getafe, Allan Nyom.

Pada minggu lepas, ketika menentang Real Betis, Lionel Messi mencipta ketiga-tiga gol, dengan hantaran bola kepada dua pemain tengah Frenkie de Jong dan Sergio Busquets serta pemain pertahanan, Clement Lenglet.

“Apabila dia tidak menjaringkan gol, dia memberi bantuan,” kata Nyom.

Di antara pemain yang telah dibeli oleh Barcelona untuk memberi kreativiti dan gol di sisi Messi, hanya Antoine Griezmann, yang memulakan perlawanan pada Ahad lepas, dapat bermain.

Philippe Coutinho telah dipinjamkan kepada Bayern Munich, Luis  Suarez belum lagi pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut dan kelab itu mengesahkan pada minggu ini bahawa Ousmane Dembele tidak dapat bermain lagi pada musim ini.

Lenglet juga tidak akan bermain. Tujuh minit selepas dia menjaringkan gol liga keduanya pada musim ini, dia telah dibuang dari padang. Dia turut dilayangkan kad merah ketika Barcelona menang di Getafe dalam perlawanan yang kasar pada September lalu.

Sementara Barcelona dan Real ada seminggu lagi untuk bersiap sedia bagi kepulangan mereka ke Liga Juara-Juara, Atletico Madrid melayan kunjungan Liverpool pada Selasa depan dan Valencia menentang Atalanta di Milan pada Rabu.

Barcelona telah meminta pengecualian untuk membeli seorang penyerang kerana masalah kecederaan mereka. — AFP

Advertisement