Anda di sini

Karisma Omar amat disenangi, mudah didampingi

Advertisement
 Pegawai polis turut mengambil bahagian mengendalikan kenderaan khas semasa Majlis Persaraan yang diadakan di IPK Sabah.
ISTIADAT: Pegawai polis turut mengambil bahagian mengendalikan kenderaan khas semasa Majlis Persaraan yang diadakan di IPK Sabah.

KOTA KINABALU: Mantan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah memiliki satu peribadi yang sangat disenangi bukan sahaja dalam kalangan anggota dan pegawainya, malah warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) keseluruhannya.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor sendiri mengakui Omar dikenali sebagai seorang pegawai yang sentiasa tenang dan sering tersenyum, namun tegas dalam membuat keputusan.

"Karisma yang dimilikinya ini menjadikan beliau amat disenangi dan mudah didampingi tanpa mengira pangkat," katanya.

Mengimbas kembali penugasannya dalam PDRM selama 31 tahun, Omar mula menyertai pasukan sebagai Kadet Asisten Superintendan Polis pada 17 Disember 1989.

Beliau kemudian diberi kepercayaan memegang jawatan penting bermula Komandan Pulapol Kota Kinabalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Ketua Penolong Pengarah Jabatan

Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Bahagian Pengurusan Dasar/ Sumber) Bukit Aman.

Jawatan ini diikuti Ketua Jabatan Pengurusan Sabah, Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan dan Keselamatan Komuniti (Perancangan Strategik) Bukit Aman serta Timbalan Ketua Polis

Perak sebelum menerajui Kontinjen Sabah sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah dengan memakai Komisioner Polis.

Sepanjang tempoh setahun lima bulan beliau menjadi Pesuruhjaya Polis Sabah, pelbagai kejayaan cemerlang berjaya direkodkan termasuk menumpaskan penyeludupan tenggiling yang beroperasi sejak tujuh tahun lalu membabitkan jumlah rampasan sebanyak RM8.4 juta serta menahan seorang lelaki melalui kerjasama Jabatan Hidupan Liar di Tuaran dan Sepanggar.

Puluhan senjata api turut dirampas bersama 1,600 butir peluru selain penahanan lapan lelaki yang terlibat dalam pembuatan serta penjualan senjata api buatan sendiri.

Kejayaan ini turut mencatatkan sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah berjaya ditumpaskan dan sebanyak 104.3 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM5.2 juta dengan penangkapan empat lelaki tempatan di Tawau.

Tiga pengedar dadah berjaya ditembak mati di Kinabatangan dan sebanyak 800 gram syabu bernilai RM100 ribu serta 11 laras senjata api pelbagai jenis berjaya dirampas.

Seramai 23 warga asing yang mengendali `calling centre' di Penampang turut ditahan bersama beberapa barangan elektronik dan RM6.07 juta rokok seludup pelbagai jenis turut dirampas dengan penahanan enam lelaki asing di Sandakan.

Beberapa lagi kejayaan besar turut dicatatkan termasuk tumpasnya sindiket penyeludupan minuman keras di Tuaran membabitkan rampasan mencecah RM8.3 juta, rampasan kapal kargo di Labuan membabitkan penyeludupan minyak bernilai RM15.2 juta dan penangkapan warga asing bersama hasil laut bernilai RM815 ribu di Sandakan.

Berbekalkan pengetahuan serta pengalaman luas yang dimiliki, terbuktilah beliau memberikan sepenuh komitmen dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan Sabah terus terpelihara.

Melihat kepada kejayaan yang direkodkan sepanjang menerajui Kontinjen Sabah, PDRM jelas kehilangan sebuah lagi permata yang banyak menabur jasa dan bakti kepada pasukan serta negara khasnya.

Kami mengucapkan penghargaan tidak terhingga kepada khidmat serta bakti yang diberikan selama ini dan kini tibalah masa untuk memulangkan beliau sepenuhnya kepada keluarga tercinta untuk menikmati masa berharga bersama dan melayari alam persaraan dengan penuh ketenangan dan kesejahteraan.

Di sebalik kejayaan seorang lelaki, ternyata isterilah yang menjadi tonggak kekuatannya, tidak lupa diucapkan ribuan terima kasih kepada Datin Diana Lee Abdullah yang banyak mengemudi PERKEP Sabah dengan cemerlang.

Diharapkan agar Omar dan isteri diberikan kesihatan terbaik dan berbahagian di samping keluarga tercinta, turut diberikan titipan doa agar dilapangkan pintu rezeki dan diberikan kemudahan dalam apa juga bidang diceburi selepas ini.

  • oleh
  • Advertisement