Anda di sini

Dua lelaki ditahan miliki lebih 100 gram syabu

Advertisement
 Dua suspek yang ditahan.
DITAHAN: Dua suspek yang ditahan.

LAHAD DATU: Dua lelaki dengan rekod jenayah lampau berkaitan dadah ditahan selepas disyaki memiliki syabu 107.07 gram dianggar bernilai RM16, 060 di sebuah ladang Jalan Tungku-Lahad Datu, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata kedua-dua suspek ditahan berasingan dalam Ops Ice Breaker sepasukan tujuh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Lahad Datu di Ladang Sri Balung, Tungku.

Menurutnya, suspek pertama ditangkap pada Khamis di sebuah rumah tidak bernombor di ladang tersebut pukul 2 petang.

"Seorang warga asing, 34, ditahan dalam bilik air dan dalam beg hitam yang dipakainya ditemui empat peket plastik lutsinar berisi ketulan hablur disyaki syabu dengan anggaran berat 51.87 gram bernilai RM7,780," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 Bahan bukti kes yang dirampas.
SYABU: Bahan bukti kes yang dirampas.

Suspek didapati negatif ujian air kencing dan memiliki tiga rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 sebanyak dua kali dan satu Seksyen 39 B akta yang sama.

Menurut Nasri, suspek kedua pula ditahan selepas anggota menahan sebuah motosikal berwarna biru di ladang tersebut pukul 5.30 petang.

"Suspek warga tempatan berumur 34 itu cuba melarikan diri ketika ditahan dan berlaku pergelutan namun berjaya ditangkap.

"Setelah diperiksa, anggota bertugas menemui empat peket lutsinar berisi ketulan hablur syabu seberat 55.20 gram bernilai RM8,280 di dalam poket seluar suspek," katanya.

Ujian air kencing suspek didapati positif Methamphetamine dan semakan rekod jenayah mendapati suspek pernah disabit kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 sebanyak dua kali.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

  • oleh
  • Advertisement