Anda di sini

Penguatkuasaan undang-undang sedia ada kurangkan penyebaran berita palsu Covid-19

Advertisement
 Mazlan menyaksikan Omar (kiri) menyerahkan jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah kepada Zaini.
SAKSI: Mazlan menyaksikan Omar (kiri) menyerahkan jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah kepada Zaini.

KOTA KINABALU: Penguatkuasaan undang-undang sedia ada dilihat mampu mengurangkan penularan berita tidak sahih berkenaan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata, sejak tindakan penguatkuasaan giat dilaksanakan pihaknya melihat penularan berita palsu semakin berkurangan.

“Kita harus faham rata-rata masyarakat sekarang adalah pemegang telefon bimbit dan kita sepatutnya tahu menilai kesahihan berita itu sendiri, kita melihat penguatkuasaan ini menunjukkan keberkesanan pada kurangnya penularan sudut berita yang tidak benar.

“Jika trend ini diteruskan, kita percaya jumlah berita tidak sahih akan berkurangan dan pada masa sama kita ingin menyemai satu sikap dalam masyarakat yang takut dengan tindakan undang-undang dan semestinya tidak ingin menjejaskan ketenteraman awam dengan penularan berita yang tidak sah ini,” katanya.

Beliau berkata setakat ini jumlah kertas siasatan berhubung penularan berita tidak sahih berkaitan Covid-19 masih kekal pada angka 13 manakala tiga daripada jumlah itu sudah didakwa di mahkamah.

“Tiga individu termasuk seorang di Sabah sudah didakwa selepas bertanggungjawab menyebarkan berita palsu dan hukuman berkaitan kesalahan yang dilakukan sudah ditentukan.

“Kita masih menunggu baki terhadap kertas siasatan selanjutnya selain menunggu keputusan daripada pihak pendakwaraya dari sudut pendakwaan,” katanya.

Terdahulu seorang pesara kerajaan didenda RM5,000 atau 10 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Sandakan kelmarin selepas mengaku bersalah menyebarkan berita palsu berhubung jangkitan Covid-19.

Mengikut fakta kes, tertuduh berumur 67 tahun itu secara sedar mengedarkan satu kenyataan melalui aplikasi WhatsApps di sini mengenai kematian mengejut banduan di Penjara Sandakan dipercayai akibat jangkitan Covid-19 selepas memakan buah limau Mandarin.

Mazlan berkata demikian semasa sidang media selepas menyaksikan serah terima tugas antara Datuk Omar Mammah yang menyerahkan jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah kepada Datuk Zaini Jass di Ibu Pejabat Polis Kepayan (IPK) Sabah di sini.

Turut dijalankan majlis serah terima tugas antara Zaini yang menyerahkan jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah kepada Datuk Mazli Mazlan.

Sepanjang penugasan Omar sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah selama setahun lima bulan, beliau menunjukkan komitmen cemerlang sehingga mencatatkan beberapa kejayaan termasuk menumpaskan sindiket jenayah terbesar di negeri ini.

Kontinjen Sabah berjaya menumpaskan penyeludupan tenggiling yang beroperasi sejak tujuh tahun lalu membabitkan jumlah rampasan sebanyak RM8.4 juta serta menahan seorang lelaki melalui kerjasama Jabatan Hidupan Liar di Tuaran dan Sepanggar.

Puluhan senjata api turut dirampas bersama 1,600 butir peluru selain penahanan lapan lelaki yang terlibat dalam pembuatan serta penjualan senjata api buatan sendiri.

Kejayaan ini turut mencatatkan sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah berjaya ditumpaskan dan sebanyak 104.3 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM5.2 juta dengan penangkapan empat lelaki tempatan di Tawau.

Tiga pengedar dadah berjaya ditembak mati di Kinabatangan dan sebanyak 800 gram syabu bernilai RM100,000 serta 11 laras senjata api pelbagai jenis berjaya dirampas.

Seramai 23 warga asing yang mengendalikan 'calling centre' di Penampang turut ditahan bersama beberapa barangan elektronik dan RM6.07 juta rokok seludup pelbagai jenis turut dirampas dengan penahanan enam lelaki asing di Sandakan.

Beberapa lagi kejayaan besar turut dicatatkan termasuk tumpasnya sindiket penyeludupan minuman keras di Tuaran membabitkan rampasan mencecah RM8.3 juta, rampasan kapal kargo di Labuan membabitkan penyeludupan minyak bernilai RM15.2 juta, dan penangkapan warga asing bersama hasil laut bernilai RM815,000 di Sandakan.

  • oleh
  • Advertisement