Anda di sini

‘Parasite’ dari Korea Selatan lakar sejarah anugerah Oscar

Advertisement
 Penerbit Parasite Kwak Sin-ae (tiga kanan) bersama para pelakon dan kru menerima anugerah filem terbaik pada Oscar Ke-92 di Dolby Theater in Hollywood, California kelmarin. — Gambar AFP
LAKAR SEJARAH: Penerbit Parasite Kwak Sin-ae (tiga kanan) bersama para pelakon dan kru menerima anugerah filem terbaik pada Oscar Ke-92 di Dolby Theater in Hollywood, California kelmarin. — Gambar AFP

KOMEDI gelap dari Korea Selatan ‘Parasite’ mencipta sejarah perfileman pada Majlis Anugerah Oscar pada Isnin (waktu Malaysia) apabila ia menjadi filem bukan bahasa Inggeris pertama untuk memenangi anugerah filem terbaik - hadiah terbesar sekali di Hollywood.

Parasite, sebuah filem aksi yang menentang genre tentang sebuah keluarga miskin yang mencerobohi sebuah keluarga mewah, memenangi empat anugerah untuk mengejutkan pakar yang menyangka Akademi tidak akan menobatkan sebuah filem bersarikata dari Asia.

“Ini adalah satu penghormatan yang amat besar sekali. Saya rasa seperti saya akan bangun dan mendapati segalanya adalah mimpi. Semua ini rasa sangat di luar khayalan,” kata Bong dengan gembira kepada wartawan di belakang pentas, sambil menyifatkan malam itu sebagai ‘gila’.

Parasite turut memenangi anugerah Oscar dalam kategori filem cereka antarabangsa terbaik, dan menjadi filem Asia pertama untuk memenangi anugerah lakon layar asal terbaik.

“Saya sangka saya sudah selesai dan bersedia untuk relaks,” kata Bong selepas dia memenangi penghormatan sebagai pengarah terbaik, sebelum dia berjanji untuk ‘minum sehingga pagi esok’.

Bong turut memberi penghormatan di atas pentas kepada wiranya pada zaman kanak-kanak yang turut dicalonkan untuk anugerah pengarah terbaik Martin Scorsese, yang mengundang tepukan gemuruh bagi pengarah veteran filem ‘The Irishman’ itu - yang pulang dengan tangan kosong.

Namun kejutan lebih besar berlaku kemudian apabila filem Bong menewaskan calon pilihan utama ‘1917’ untuk memenangi anugerah filem terbaik, hadiah terakhir pada malam itu.

“Ia rasa seperti saat yang sudah sampai pada waktunya dalam sejarah sedang berlaku sekarang,” kata penerbit Kwak Sin-ae kepada hadirin yang terdiri daripada ahli-ahli senarai A di Tinseltown, yang menyorak kemenangan filem itu sepanjang malam di Dolby Theatre.

Bong meramalkan “sudah tentu kita akan sampai pada suatu hari nanti” apabila “sebuah filem bahasa asing yang memenangi ini tidak akan menjadi isu besar”.

Phoenix dan Zellweger menang

Filem pilihan utama untuk memenangi anugerah Oscar, 1917, filem Perang Dunia I yang inovatif dan peribadi arahan Sam Mendes mengenai dua orang askar yang merentasi bumi musuh, terpaksa berpuas hati dengan anugerah-anugerah sinematografi terbaik, kesan visual terbaik dan adunan bunyi terbaik.

Filem itu, yang dirakam untuk kelihatan seperti satu penggambaran berterusan - telah memenangi piala di beberapa gala lain sebelum Isnin lepas.

Joaquin Phoenix memenangi anugerah Oscar pertamanya untuk lakonannya dalam kisah asal penjahat besar ‘Joker’, filem yang memulakan malam itu dengan pencalonan terbanyak.

Dalam ucapan yang emosional, pelakon itu mengecam ketidakadilan dan ‘pandangan dunia yang egosentrik’ sehingga menyebabkan kemusnahan alam sekitar, sebelum dia memberi penghormatan kepada abangnya yang juga seorang pelakon, River, yang mati kerana pengambilan dadah berlebihan pada 1993.

Renee Zellweger melengkapkan kebangkitan yang menakjubkan apabila dia memenangi anugerah aktres terbaik untuk ‘Judy’, dan mengabadikan anugerah itu kepada legenda skrin Hollywood yang dia lakonkan.

“Judy Garland tidak menerima penghormatan ini pada zamannya. Saya pasti bahawa saat ini adalah lanjutan kepada legasinya yang kita raikan,” katanya ketika dia menerima anugerah Oscar keduanya.  

Politik berkuasa

Pitt, yang memenangi Anugerah Akademi pertamanya sebagai pelakon pembantu dalam filem arahan Quentin Tarantino ‘Once Upon a Time ... in Hollywood’, merupakan seorang daripada beberapa orang pemenang yang bernada politik.

“Mereka memberitahu saya, saya hanya ada 45 saat sahaja di atas sini, iaitu 45 saat lebih lama berbanding masa yang diberikan oleh Senat kepada John Bolton pada minggu ini,” katanya, yang merujuk kepada perbicaraan pendakwaan Presiden Donald Trump, baru-baru ini.

‘American Factory’ - filem pertama dari syarikat penerbitan Barack dan Michelle Obama, mengenai sebuah kilang di kawasan ‘Rust Belt’ yang dibuka semula oleh seorang bilionair dari China - memenangi anugerah dokumentari terbaik.   

Lakon layar adaptasi terbaik dimenangi satira Nazi ‘Jojo Rabbit’, tentang seorang kanak-kanak lelaki yang dipengaruhi fahaman fasis.

Taika Waititi, yang berketurunan Maori, berkata dia harap kemenangan itu akan memberi inspirasi kepada ‘semua kanak-kanak peribumi di dunia yang mahu menceburi bidang seni dan tarian dan menulis cerita’.

Laura Dern memenangi anugerah aktres pembantu terbaik untuk lakonannya sebagai seorang peguam perceraian yang garang dalam ‘Marriage Story’.

Penghormatan muzikal

Kemewahan dan glamor pada acara itu berbeza sekali dengan kesedihan di Los Angeles ekoran kematian legenda filem Zaman Emas Kirk Douglas dan bintang bola keranjang yang pernah memenangi anugerah Oscar, Kobe Bryant, baru-baru ini.

Penyanyi yang memecah rekod bagi kemenangan Grammy Billie Eilish mendendangkan versi ‘Yesterday’ yang menyentuh hati untuk mengiringi montaj “in memoriam” bagi mereka yang hilang dari Hollywood pada tahun ini, yang bermula dengan Bryan dan berakhir dengan Douglas.

Muzik menjadi tema yang menonjol sepanjang malam, yang bermula dengan rangkaian lagu yang menangani perbalahan berhubung kekurangan minoriti dan pengarah wanita dalam senarai calon yang penuh dengan bintang.

“Kita meraikan semua wanita yang mengarah filem-filem hebat dan saya begitu bangga untuk berdiri di sini sebagai seorang artis hitam yang pelik,” kata penyanyi Janelle Monae.

Elton John memenangi lagu asal terbaik dari ‘Rocketman’, sebuah filem mengenai kehidupannya.

Penyanyi rap Eminem, yang memenangi anugerah Oscar pada 2003, membuat penampilan mengejut di atas pentas untuk menyampaikan lagunya yang menang ‘Lose Yourself’ - yang banyak dipotong oleh penapis.

Komposer dari Iceland Hildur Gudnadottir memenangi skor asal terbaik untuk muziknya yang memukau untuk ‘Joker’.

“Kepada gadis-gadis, kepada kaum wanita, kepada ibu-ibu, kepada anak-anak perempuan, yang mendengar muzik yang menggelegak di dalam diri, tolong bersuara,” katanya. “Kami perlu mendengar suara anda.”

Tiada pengarah wanita

Tiada pengarah wanita dicalonkan pada tahun ini - satu tema yang disebut oleh beberapa orang selebriti.

Natalie Portman, pemenang anugerah Oscar bagi aktres terbaik pada 2011 untuk ‘Black Swan’, ‘memakai’ perasaannya - dia menjahit nama-nama mereka pada mantel Dior yang dia pakai ke gala itu.

Majlis tidak ada hos buat kali kedua berturut-turut. Reviu awal tidak bagus.

“Apabila iklan adalah bintang sebenar, kita benar-benar ada masalah yang amat serius,” tulis akhbar Deadline Hollywood, yang menyifatkan majlis itu ‘terlalu lama’. — AFP

Advertisement