Anda di sini

Ziarah cakna atasi keciciran pelajar

Advertisement
 Alfred kelihatan gembira menerima sumbangan yang disampaikan rombongan semasa ziarah.
GEMBIRA: Alfred kelihatan gembira menerima sumbangan yang disampaikan rombongan semasa ziarah.

PENAMPANG: Program ziarah cakna merupakan pendekatan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam mencapai revolusi sifar keciciran pelajar.

Seperti yang dialami oleh Alfred Wences, pelajar tingkatan satu di SMK Limbanak yang menghidap penyakit Talasemia, program ziarah yang diadakan ternyata menyentuh hati keluarga berkenaan.

Menurut ibunya, Rita Johny, 35, kekerapan menjalani rawatan serta kedaifan keluarga antara punca Alfred kerap tidak hadir ke sesi persekolahan.

"Alfred perlu menjalani transfusi darah merah tiga kali sebulan.

"Kami berasa terharu atas keprihatinan KPM terhadap situasi keluarga kami.

"Semoga program ini dapat diteruskan agar lebih ramai golongan memerlukan menerima manfaat seperti kami," kata suri rumah sepenuh masa itu.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Profesionalisme Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Maimunah Suhaibul berkata, pelajar yang bermasalah kehadiran perlu dicari dan diselamatkan supaya dapat meneruskan pendidikan.

"Kita perlu yakinkan pelajar yang sekolah adalah satu tempat permulaan untuk mengubah masa hadapan yang cerah serta keluar dari belenggu kemiskinan," katanya.

Maimunah berkata demikian ketika ditemui media dalam ziarah cakna ke kediaman Alfred Winces di Kampung Mahansung, Sugud, di sini hari ini.

Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan Negeri Sabah yang dilancarkan semalam ini merupakan aktiviti lawatan guru ke rumah murid untuk bertemu dengan ibu bapa.

Objektifnya adalah untuk berkongsi perkembangan menyeluruh dan pandangan berkaitan anak murid bersama ibu bapa selain mengumpul maklumat dan memahami latar belakang pelajar.

Advertisement