Anda di sini

KPLB Sabah sumbang sebuah van sekolah untuk MESEJ Bunang

Advertisement
 Ewon (tiga dari kanan) menyerahkan replika kunci van sekolah kepada Syaheddrul wakil SLDB, iaitu agensi yang mengurus mesej itu, turut kelihatan Rasinin (dua dari kiri) Fredian (empat dari kanan) dan Hassan (kanan sekali).
REPLIKA KUNCI: Ewon (tiga dari kanan) menyerahkan replika kunci van sekolah kepada Syaheddrul wakil SLDB, iaitu agensi yang mengurus mesej itu, turut kelihatan Rasinin (dua dari kiri) Fredian (empat dari kanan) dan Hassan (kanan sekali).

KENINGAU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyumbangkan sebuah van 18 penumpang untuk kegunaan pelajar dan peserta di perkampungan Mini Estate Sejahtera (MESEJ) Bunang 2.

Majlis penyerahan kenderaan itu disempurnakan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick, pada majlis ringkas di Dewan Mesej Bunang 2, di sini, semalam.

“Semasa lawatan ke sini pada tahun lepas untuk program berbuka puasa, saya telah menyatakan komitmen KPLB Sabah untuk membantu mendapatkan sebuah van sekolah.

“Syukur, ianya dapat direalisasikan pada tahun ini dan kita akan tambah satu lagi van untuk MESEJ ini bagi menampung keperluan penduduk dan pelajar yang semakin bertambah di MESEJ ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan van itu.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap ADUN Liawan Rasinin Koutis, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Ahli Lembaga Pengarah SLDB Charles Dalansing, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) Syaheddrul R.Jodari, Pengurus Wilayah Barat SLDB Sabah Jasni Mohd Yusoff, Pegawai Daerah Keningau Hassan Mahali, Penolong Pegawai Daerah Sook Paul Isidore dan para pemimpin tempatan.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berharap dengan adanya van sekolah itu akan memberikan keselesaan kepada para pelajar dan kemudahan kepada para peserta menjalankan aktiviti pada setiap hujung minggu.

“Saya berharap, van ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar MESEJ Bunang yang kebanyakannya bersekolah di SMK Bingkor, SMK Keningau, SK Minawo dan Sk Biah,” katanya.

Beliau juga menasihatkan para pelajar supaya menjadikan kesusahan hidup sebagai pendorong dan motivasi untuk terus maju jaya dalam pelajaran.

Mengenai jalan menuju ke Mesej itu, Ewon berkata dalam lawatan kerja di MESEJ ini pada tahun lepas, beliau jalan masuk menuju ke sini daripada jalan utama masih gravel dan KPLB Sabah telah menyalurkan peruntukan menaiktaraf ke jalan konkrit dan kerja-kerja penaiktarafan itu siap sepenuhnya pada Disember tahun lepas.

Advertisement