Anda di sini

Chong pastikan penduduk Selangan Batu di Pending terima geran tanah jika PH tawan Sarawak

Advertisement
Chong (tiga kanan) hadir pada Majlis Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina di Selangan Batu, Pending hari ini.
Chong (tiga kanan) hadir pada Majlis Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina di Selangan Batu, Pending hari ini.

KUCHING: Geran tanah akan dikeluarkan kepada penduduk Kampung Selangan Batu, Pending dekat di sini jika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan negeri pada pilihan raya negeri yang akan datang. 

Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen berkata walaupun kerajaan persekutuan kini di bawah PH, tetapi isu tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. 

Justeru katanya, melainkan kerajaan negeri di bawah PH, barulah isu tanah ini dapat diperbetulkan dan diselesaikan. 

“Penduduk di Selangan Batu ini sudah mendiami kampung ini selama berpuluh tahun tetapi tidak ada geran tanah. 

“Jika PH ambil alih kerajaan negeri pada pilihan raya negeri akan datang, saya akan pastikan geran tanah dikeluarkan kepada penduduk di sini. 

“Kita juga akan baiki kemudahan di sini dan membina pangsapuri untuk penduduk di sini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina 2020 di kampung tersebut hari ini. 

Terdahulu dalam ucapannya, Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata kawasan penempatan ini dahulunya tidak mempunyai kemudahan jalan yang baik. 

Pada 2007 katanya beliau yang mana ketika itu Ahli Parlimen Bandar Kuching (kini Ahli Parlimen Stampin) ada menulis kepada pihak berkuasa yang relevan untuk memohon jalan dalam kawasan penempatan ini ditar. 

Beliau bagaimanapaun katanya telah menerima surat maklum balas daripada pihak berkuasa tempatan yang berkenaan bahawa kawasan Selangan Batu ini merupakan kawasan setinggan atas tanah kerajaan. 

Justeru katanya, pihak berkuasa tempatan yang berkenaan tidak dapat menyalurkan sebarang peruntukan bagi tujuan infrastuktur di kawasan ini. 

Bagaimanapun menurut Chong pada pilihan raya tahun 2011, semua laluan dalam Selangan Batu diturap oleh pihak berkuasa tempatan berkenaan. 

  • oleh
  • Advertisement