Anda di sini

Koronavirus Wuhan: Sebelas lagi kes PUI baharu direkodkan di Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Sebelas lagi Kes Yang Disyaki (PUI) Koronavirus Wuhan dicatatkan di Sarawak setakat pagi ini. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan hari ini memberitahu, setakat jam 10.30 pagi, Jabatan Kesihatan Negeri merekodkan 11 kes baharu diletakkan di bawah PUI.

"Daripada jumlah itu, Hospital Sibu mencatatkan jumlah PUI tertinggi iaitu sembilan orang diikuti seorang di Hospital Umum Sarawak dan seorang lagi di Hospital Miri," katanya.

Semalam, katanya enam kes baharu PUI direkodkan Hospital Umum Sarawak lima kes manakala satu lagi kes di Hospital Bintulu. 

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes PUI adalah 57 kes bagi tempoh 10 Januari hingga pagi hari ini di Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, keputusan makmal bagi 36 kes didapati negatif daripada dijangkiti virus tersebut manakala selebihnya 21 termasuk 11 kes baharu masih menunggu keputusan ujian makmal.

Di seluruh negara, 42 kes PUI tertinggi direkodkan melibatkan rakyat tempatan diikuti 13 warga China, seorang warga Thailand dan seorang lagi warga Indonesia.

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Negeri telah menjalankan pemeriksaan 5,876 pelawat yang datang ke negeri ini menerusi pintu masuk udara, darat dan laut setakat jam 11 pagi semalam.

Bagi tempoh 2 Februari hingga semalam, kira-kira 52,203 pelawat tiba di negeri ini telah diperiksa.  

Dalam pada itu, JPBNS mengingatkan semua warga asing terutama pelancong yang pernah ke China dalam tempoh 14 hari lepas akan disekat  dari memasuki negeri ini. 

Manakala semua warga Malaysia bukan penduduk Sarawak yang pernah melawat China dalam tempoh 14 hari lepas adalah dinasihatkan tidak melawat Sarawak sehingga tamat kuarantin 14 hari dan dipersijilkan bebas dari penyakit. 

Bagi warga Sarawak dan penduduk tetap yang bekerja dan pemegang visa yang pernah ke China dalam tempoh 14 hari lepas mereka boleh kembali tetapi wajib dikuarantinkan di rumah selama 14 hari. 

  • oleh
  • Advertisement