Anda di sini

Skim Insentif Pelancongan diperkenal bantu sektor pelancongan tempatan

Advertisement
 Vivian bersama Suhaimi (kiri) dan Marjawati (tiga kanan) menunjukkan Skim Insentif Pelancongan bantu sektor pelancongan tempatan.
SKIM INSENTIF: Vivian bersama Suhaimi (kiri) dan Marjawati (tiga kanan) menunjukkan Skim Insentif Pelancongan bantu sektor pelancongan tempatan.

SANDAKAN: Parlimen Sandakan memperkenalkan program rangsangan mini yang dinamakan Skim Insentif Pelancongan Sandakan bagi membantu para peniaga tempatan khususnya dalam sektor pelancongan ekoran situasi semasa kini.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata penularan wabak Koronavirus menjadi isu utama masa kini di seluruh dunia dan berikutan itu pelbagai sekatan perjalanan dikenakan termasuk di Sabah.

"Walaupun sekatan-sekatan itu hanya sementara, industri pelancongan kita akan menerima impak negatif. Ketibaan pelancong China ke Sandakan mungkin tidak banyak seperti beberapa bandar lain di Sabah, tetapi ramai yang masih boleh memilih menangguhkan rancangan perjalanan mereka dan oleh itu, akan menjejaskan sektor pelancongan tempatan.

"Maka, dalam menghadapi masa yang sukar ini, Skim Insentif Pelancongan ini diperkenalkan bagi membantu perniagaan tempatan seperti hotel, pengendali pelancongan, restoran, penyedia pengangkutan dan perkhidmatan yang berkaitan," katanya dalam satu sidang media di Lapangan Terbang Sandakan, semalam.

Jelasnya di bawah skim ini, Parlimen Sandakan akan menyediakan sejumlah sokongan kewangan kepada semua NGO, persatuan atau kelab bagi menggalakkan dan menarik mereka untuk membawa acara, seperti mesyuarat, persidangan dan pameran ke Sandakan.

"Sokongan kewangan ini mungkin tidak besar, tetapi kami berharap bahawa ia mencukupi bagi meyakinkan lebih banyak organisasi untuk mengadakan acara atau majlis di sini.

"Ini akan membantu mengisi bilik hotel, restoran, perkhidmatan pengangkutan, dan dengan itu, membantu untuk memastikan pekerjaan tersedia kepada rakyat Sandakan, sekaligus membantu ekonomi tempatan kita bagi menghadapi situasi semasa," katanya.

Justeru itu Vivian turut menggesa semua pihak yang berkaitan, lapangan terbang, syarikat penerbangan, pihak berkepentingan pelancongan, NGO dan semua pihak di sini untuk bersama-sama bagi mengatasi keadaan situasi semasa kini.

Terdahulu itu, Vivian juga mengumumkan bahawa bermula 17 Februari 2020, Malindo Airlines akan memulakan perkhidmatan harian baharu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Sandakan.

"Tiket penerbangan untuk perkhidmatan baharu ini sudah sedia untuk ditempah secara dalam talian, dan saya dimaklumkan bahawa pada masa ini ada harga promosi yang menarik ditawarkan sempena pelancaran perkhidmatan baharu ini.

"Terima kasih Malindo kerana terus memberi khidmat di Sandakan. Penerbangan tambahan ke KLIA ini amat dialu-alukan kerana menyediakan pilihan perjalanan dari Sandakan ke KL dan seterusnya melalui rangkaian antarabangsa Malindo," katanya.

Turut hadir, Pengurus Lapangan Terbang Sandakan Suhaimi Abdul Sani, Pengurus Station Malindo Airlines (Sandakan), Marjawati Awang dan Presiden Persatuan Pelancongan Sandakan (STAN) Teo Chee Kim.

  • oleh
  • Advertisement