Anda di sini

SK Pekan II iktiraf pemimpin sekolah

Advertisement
 Hajah Dayang (lima kanan) bersama wakil murid, pentadbir dan penyelaras.
KENANGAN: Hajah Dayang (lima kanan) bersama wakil murid, pentadbir dan penyelaras.

LABUAN: Sekolah Kebangsaan Pekan II (SKPII), Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Badan-badan Pengawas Sekolah di Pusat Sumber Gemilang SKP II, baru-baru ini.

Pada majlis itu, seramai 221 orang yang terdiri daripada Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Pengawas Kebersihan dan Keceriaan, Pengawas Pembimbing Rakan Sebaya, Pengawas Kantin serta Ketua dan Penolong Ketua Kelas Sekolah menerima watikaha masing-masing.

Ketua Pengawas Sekolah, Muhamad Rafiq AL-Zharfan Hazri menerima watikah pelantikan daripada Guru Besar, Hajah Dayang Haji Md Yassin yang disaksikan oleh Penolong-Penolong Kanan SKPII.

Turut hadir pada majlis itu ialah Penolong Kanan Pentadbiran, Tengku Yasmin Tengku Ibrahim; Penolong Kanan HEM, Farida Abdul Rahman dan Penolong Kanan KoKurikulum, Fatimah Haji Kassim.
Hadir sama Penyelaras Pengawas Sekolah, Ustaz Mohamad Sufian Abdullah dan 56 guru.

Hajah Dayang berkata matlamat Majlis Penyampaian Watikah Pengawas ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada pemimpin-pemimpin cilik yang sama-sama bertanggungjawab menjaga disiplin dan sahsiah dalam kalangan murid-murid SK Pekan II.

Katanya, antara lain objektifnya adalah untuk melahirkan pemimpin pelapis cilik yang bertanggungjawab terhadap tugas-tugas murni yang diamanahkan, selain meningkatkan tahap motivasi murid-murid yang dipilih untuk menjalankan tugas dengan baik.

“Lembaga Pengawas Sekolah yang terdiri daripada murid-murid sekolah ini dan mereka akan membantu menjalankan pelbagai aktiviti untuk mencapai matlamat dan objektif sekolah.

“Dengan cara memberi pengiktirafan sebegini dapat memberi inspirasi serta semangat kepada pemimpin cilik tersebut dengan sepenuh tanggungjawab dan dedikasi supaya mereka dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sebaiknya,”katanya.

Mereka yang dilantik akan membantu guru-guru melicinkan lagi operasi pemantauan disiplin sekolah, kebersihan kantin dan keceriaan sekolah serta pusat sumber sekolah dan menjadi pembimbing rakan sebaya sekolah.

Selain itu, mereka juga akan melaksanakan tugas-tugas yang berkaitan dengan kepelbagaian bidang tugas pengawas yang telah diamanahkan kepada mereka dan menjalankan aktiviti dalam memberi khidmat bantuan kepada rakan mereka dalam setiap program yang dijalankan.

Terdahulu dalam ucapannya, Hajah Dayang mengucapkan terima kasih kepada guru-guru pembimbing kerana berjaya membentuk kredibiliti pemimpin cilik ini.

“Syabas dan tahniah kepada semua Pengawas yang menerima watikah pelantikan serta menyeru supaya pengawas menjadi contoh disiplin yang terbaik kepada murid-murid yang lain,”katanya.

Beliau juga berkata pengawas adalah tulang belakang dan pembantu utama guru dalam memastikan pematuhan disiplin semua murid berada pada tahap yang terkawal.

Pihak sekolah berharap jawatan yang diamanahkan kepada mereka akan dapat digalas sebaik-baiknya demi melatih murid-murid menjadi pemimpin teladan yang bersemangat dan berdedikasi, bertanggungjawab serta amanah dalam melaksanakan tugas.

“Murid-murid yang memainkan peranan sebagai “Leadership Junior” di peringkat sekolah ini adalah merupakan suatu permulaan yang baik kepada mereka untuk menjadi pemimpin yang berwibawa kepada masyarakat pada masa akan datang,”jelas Hajah Dayang lagi.

Dalam pada itu, beliau telah mengumumkan akan memberi kemudahan 'Bilik Operasi Pengawas Cilik' (BOPc) iaitu sebuah bilik untuk pengawas menjalankan operasi mereka.

Hajah Dayang juga menyeru supaya pengawas mempunyai tahap prestasi yang cemerlang dalam pelajaran mereka.

“Untuk itu mereka perlu bijak mengagihkan masa demi memastikan semua pengawas terus cemerlang dalam pelajaran walaupun pada masa yang sama menjalankan tugas sebagai pengawas,”tambahnya.

 Semua ketua pengawas mengangkat sumpah pelantikan.
ANGKAT SUMPAH: Semua ketua pengawas mengangkat sumpah pelantikan.
Advertisement