Anda di sini

11 lelaki warga China didakwa berkaitan kes penipuan dalam talian

Advertisement
esemua tertuduh tiba di Mahkamah Kuching hari ini.
Kesemua tertuduh tiba di Mahkamah Kuching hari ini.

KUCHING: Seramai 11 lelaki warganegara China didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Kuching, hari ini atas pertuduhan terlibat sindiket penipuan dalam talian serta dua kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen pada pertengahan bulan lalu.

Kesemua tertuduh berusia 21 hingga 34 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Majistret Zubaidah Sharkawi dan Hakim Mahkamah Sesyen Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad.

Justeru, Zubaidah menawarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan berserta dua penjamin tempatan dan pasport mereka turut ditahan mahkamah sehingga tarikh perbicaraan kes.

Sebutan semula kes tersebut adalah pada 3 Mac.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani berkata kesemua tertuduh ditahan di sebuah rumah di Jalan Stampin Tengah, di sini pada 15 Januari lalu, sekitar jam 7.45 malam.

"Pemeriksaan ke atas rumah tersebut berjaya menahan 11 lelaki (tertuduh) terbabit kerana disyaki terlibat aktiviti penipuan dalam talian dengan menawarkan pinjaman wang tidak wujud," jelasnya.

Menurutnya, turut dirampas dalam operasi tersebut ialah komputer, telefon bimbit, mesin pencetak dan sebuah kereta serta pelbagai dokumen.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 120B(1) dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu pakat jahat jenayah melakukan penipuan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebat.

"Selain itu, empat daripada mereka turut dituduh di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia setelah pas/permit tamat atau dibatalkan yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

"Selain itu, tujuh lagi turut dituduh di bawah Peraturan 38(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan yang memperuntukkan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali," jelas Mustafa.

Bagaimanapun, kes Imigresen diarahkan untuk dituduh semula di Mahkamah Khas di Depot Tahanan Imigresen Semuja, Serian pada 5 Februari (esok).

Kesemua tertuduh diwakili peguam Shankar R. P Asnani.

  • oleh
  • Advertisement