Anda di sini

Eksport produk halal ke Jepun dijangka catat pertumbuhan: Azmin

Advertisement

TOKYO: Eksport produk halal Malaysia ke Jepun dijangka mencatatkan pertumbuhan positif tahun ini, dipacu oleh kerjasama di antara Halal Development Corporation Bhd dengan AcrosX Japan Inc.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerjasama ini akan menggalakkan perniagaan Jepun memanfaatkan industri halal sebagai aliran pendapatan baharu seiring pertumbuhan pesat segmen mesra muslim di negara ini.

“Kerjasama di antara HDC dengan Acrosx akan membuka peluang baharu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia bagi menembusi pasaran halal Jepun dan meneroka peluang pasaran baharu dengan mengeksport produk halal Malaysia ke Jepun,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara HDC dengan AcrosX di sini, Sabtu.

Pemeteraian itu disaksikan Duta Besar Malaysia di Jepun Datuk Kennedy Jawan.

Piawaian Mesra Muslim oleh HDC dan Acrosx juga dilancarkan pada majlis tersebut.

Mohamed Azmin berkata produk halal bernilai RM2.5 bilion dieksport ke Jepun pada 2018, dengan 90 peratus terdiri daripada produk makanan halal dan bahan halal.

“Industri halal global dianggarkan mencecah nilai US$3.23 trilion pada 2018, dengan anggaran kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 7.49 peratus.

“MoU ini akan membolehkan HDC dan Acrosx membangunkan dan mewujudkan rangka kerja kerjasama strategik di antara kedua-dua organisasi menerusi khidmat nasihat, pembangunan kapasiti dan bantuan teknikal untuk mewujudkan landskap perniagaan yang rancak dan mampan bagi segmen pengguna mesra muslim di Jepun,” katanya.

Beliau berkata bagi perusahaan Malaysia, MoU itu merupakan peluang berharga untuk melonjakkan perdagangan dua hala, terutama menerusi pembekalan bahan halal dan produk separa proses yang mempunyai permintaan besar di seluruh dunia.

HDC adalah penjaga ekonomi halal Malaysia, dan bertanggungjawab menerajui pembangunan ekonomi industri halal di Malaysia.

“Justeru, kerjasama hari ini dilihat sebagai permulaan segmen baharu untuk pembangunan ekonomi di Jepun, dengan memanfaatkan kepakaran Malaysia dalam sektor halal serta kekuatan perindustrian Jepun maka sinergi kukuh dapat direalisasikan di samping menawarkan potensi ekonomi baharu untuk kedua-dua negara.

“Tambahan pula Tokyo akan menganjurkan Sukan Olimpik 2020, kerjasama ini bersedia untuk membolehkan pelbagai perniagaan memenuhi kehadiran pelancong Islam dalam jumlah yang besar seperti dijangkakan, menekankan lagi permintaan halal yang semakin meningkat sebagai pemacu ekonomi utama,” katanya.

Mohamed Azmin berkata landskap halal yang pesat juga melangkaui temasya itu apabila ia menyokong keperluan pengguna Islam yang berkembang di banyak wilayah dan bandar.

Luar biasa apabila mengetahui ia berlaku seiring dengan kelestarian alam sekitar, tanggungjawab etika dan impak sosial yang diberikan penekanan lebih besar dalam pembangunan sosio-ekonomi, katanya.

Beliau berkata Malaysia menyedari bahawa pencapaian ekosistem halal yang teratur tidak boleh wujud secara pengasingan sebaliknya ia mempunyai dan terus bergantung kepada semangat kerjasama harmoni dalam kalangan pemegang kepentingan sektor awam dan swasta.

“Ini ditunjukkan menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 Malaysia untuk mencapai pertumbuhan mampan dan inklusif bersama dengan pengagihan adil dan saksama di seluruh kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan,” katanya.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan alu-aluan, Pengerusi HDC Datuk Mahmud Abbas berkata perkongsian dengan AcrosX akan membantu memperkukuh lagi ekosistem halal domestik dengan menyediakan akses lebih luas kepada Piawaian Mesra Muslim yang boleh dipercayai.

“Inisiatif ini akhirnya bertujuan menawarkan kekukuhan, ketelusan, jaminan dan pragmatisme yang lebih besar dalam memberi perkhidmatan kepada pengguna dan perniagaan.

““Lebih khusus lagi, Piawaian Mesra Muslim akan menumpukan kepada syarikat berasaskan perkhidmatan seperti hotel, restoran, tempat pelancongan dan hospital,” katanya.

Beliau berkata piawaian baharu itu akan dilaksanakan sebahagiannya dalam latihan halal kebangsaan Jepun yang digerakkan oleh Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun di bawah Jawatankuasa Pakar Latihan Halal.

Ini adalah langkah penting memandangkan ia akan menawarkan kedudukan khusus yang sesuai untuk penyepaduan dan pengiktirafan seterusnya, katanya. — Bernama

Advertisement