Anda di sini

Bantuan Pakaian Seragam Sekolah Yayasan Sarawak Baharu santuni 26,175 penerima

Advertisement
 Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang (empat kiri) menyampaikan agihan baucar kepada wakil Pejabat Residen Limbang Muhammad Hafiz.
TERIMALAH: Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang (empat kiri) menyampaikan agihan baucar kepada wakil Pejabat Residen Limbang Muhammad Hafiz.

SIBU: Bantuan Pakaian Seragam Sekolah Yayasan Sarawak Baharu Tahun 2020 bakal memberikan manfaat kepada seramai 26,175 pelajar penerima dengan melibatkan kos berjumlah RM5,235,000.

Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang berkata pada masa ini baucar bantuan pakaian seragam tersebut telah diagihkan kepada setiap Pejabat Residen di seluruh Sarawak.

Menurutnya, Bantuan Pakaian Seragam Sekolah Yayasan Sarawak telah bermula pada tahun 2001, diamanahkan oleh Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan pembekalan pakaian seragam sekolah termasuk kasut dan beg kepada murid-murid penerima.

“Pada tahun 2017, peruntukan ditambah RM4.0 juta setahun dengan kadar bantuan RM200 seorang.

“Pelaksanaan bantuan juga ditambah baik dengan menggunakan kaedah pemberian baucar,” jelasnya.

Azmi berkata demikian pada Mesyuarat Penyelarasan dan Agihan Baucar Bantuan Pakaian Seragam Sekolah Yayasan Sarawak 2020 di Senate Room, Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) di sini semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak Louis Simon Peter, Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Natrah Ahim dan Pegawai Wilayah BSN Sibu Abdullah Shariff.

Pelaksanaan Bantuan Pakaian Seragam Sekolah Yayasan Sarawak Baharu adalah dengan memaklumkan jumlah kuota yang ditetapkan dan menyerahkan bilangan baucar tersebut kepada Pejabat Residen seluruh Sarawak.

Pejabat Daerah akan dimaklumkan mengenai kuota baucar tersebut dan seterusnya mesyuarat bersama dengan semua Pejabat Pendidikan Daerah untuk agihan baucar.

Pihak sekolah akan dimaklumkan untuk menghantar senarai nama pelajar yang layak berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan dan dikemukakan kepada Pejabat Daerah bagi tujuan pengesahan.  

Senarai nama pelajar yang telah diperakui diserahkan kepada Pejabat Residen bagi tujuan makluman kepada Yayasan Sarawak.  

Seterunya, senarai nama yang telah diperakui dihantar kepada Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk tindakan penyediaan data.

Advertisement