Anda di sini

JKDM Sarikei kutip cukai lebih RM7 juta

Advertisement
 Mohli (tiga kiri) menyempurnakan upacara perasmian Hari Kastam Sedunia Ke-38 Peringkat JKDM Stesen Sarikei di Dewan Peninjau JDKM Sarikei, semalam sambil disaksikan tetamu kehormat lain.
HARI KASTAM: Mohli (tiga kiri) menyempurnakan upacara perasmian Hari Kastam Sedunia Ke-38 Peringkat JKDM Stesen Sarikei di Dewan Peninjau JDKM Sarikei, semalam sambil disaksikan tetamu kehormat lain.

SARIKEI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Stesen Sarikei telah berjaya mengutip cukai berjumlah RM7,081,370.96 pada tahun lepas.

Ketua Kastam Stesen Sarikei Mohli Amri berkata, jumlah tersebut juga merupakan enam peratus daripada keseluruhan jumlah kutipan cukai untuk JKDM Sarawak.

“Ini adalah kejayaan kepada stesen Kastam Sarikei walaupun berada dalam situasi ekonomi yang tidak menentu serta pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST.

“JKDM Sarikei masih mampu mengutip cukai sebagaimana unjuran hasil yang telah ditetapkan pengurusan tertinggi jabatan.

“Pada masa akan datang, JKDM Sarikei berazam menggandakan lagi usaha ke arah mencapai kutipan hasil yang lebih tinggi berbanding tahun lepas agar hasil cukai yang bertambah dapat disalurkan kepada negara bagi tujuan pembangunan serta kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” kata Mohli.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-38 Peringkat JKDM Stesen Sarikei di Dewan Peninjau JDKM Sarikei, semalam.

Tambah Mohli, JKDM merupakan agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk mengutip cukai serta menguatkuasakan undang-undang serta subsidiari berkaitan dengan kesejahteraan negara dan rakyat.

Mengulas sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-38 Peringkat Stesen Sarikei pada tahun ini Mohli berkata, pelbagai aktiviti telah dirancang bagi memastikan sambutan dirasai kemeriahannya sama ada di peringkat jabatan atau bersama masyarakat setempat.

Katanya, antara program yang telah diatur ialah program derma darah, ceramah gaya hidup sihat, Program Hari Bertemu Pelanggan, pameran, bacaan Surah Yasin dan doa selamat serta banyak lagi aktiviti lain.

“Kesemua aktiviti ini melibatkan kerjasama dengan beberapa agensi dan jabatan kerajaan yang lain seperti Hospital Bahagian Sarikei, Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei, Pejabat Agama Islam Bahagian Sarikei, Masjid Bahagian Sarikei, Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial Sarikei dan pihak media.

“Hari Kastam Sedunia disambut dan diraikan pada 26 Januari setiap tahun oleh sebilangan besar daripada 180 negara Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO).

“Pada tahun ini tema sambutan Hari Kastam Sedunia ialah ‘Kastam Memacu Kelestarian Bagi Memakmurkan Rakyat Sejagat’ dan pemilihan tema ini merupakan pengiktirafan terhadap pentingnya peranan serta sumbangan jabatan kastam dalam hubungan dua hala mahupun pelbagai hala di peringkat antarabangsa khususnya yang berkaitan dengan usaha untuk mempermudahkan urusan perdagangan dan perindustrian, menggalak pelaburan dana asing serta membanteras pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan untuk memastikan kemakmuran negara terus dapat dikekalkan,” tegas Mohli.

Turut hadir Ketua Cawangan Penguatkuasaan merangkap Pengerusi Sambutan Hari Kastam Sedunia JKDM Stesen Sarikei Abdul Najid Abdul Razak, Ketua Unit Pelabuhan Tanjung Manis memikul tugas-tugas Ketua Cawangan Perkastaman Boher@Bujang Amri Kana serta pegawai dan kakitangan JKDM Stesen Sarikei yang lain.

  • oleh
  • Advertisement