Anda di sini

GPS jamin perkukuh ekonomi Sarawak: KM

Advertisement
ABANG JOHARI
ABANG JOHARI

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi jaminan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinannya akan melakukan yang terbaik untuk memperkukuhkan lagi ekonomi negeri ini.

Beliau berkata, ekonomi yang kukuh sangat penting untuk kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

“Sempena musim perayaan ini, (Tahun Baharu Cina 2020) bagi pihak kerajaan Sarawak, saya mahu memberi jaminan kerajaan GPS di bawah pimpinan saya akan melakukan yang sebaik mungkin untuk mengukuhkan lagi ekonomi negeri kerana ia sangat penting untuk kesejahteraan kita.

“Kerajaan GPS sentiasa cuba untuk konsisten dan kukuh dari segi dasar-dasar menggunakan sumber-sumber negeri bagi menjana lebih banyak pendapatan untuk Sarawak yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat dalam bentuk kemudahan-kemudahan infrastruktur dan utiliti,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2020.

Abang Johari berkata, ratusan projek infrastruktur dan utiliti terutamanya di luar bandar yang bernilai berbilion ringgit dilaksanakan dalam tempoh dua tahun bermula tahun lepas adalah bukti komitmen kerajaan GPS untuk memastikan Sarawak mempunyai sistem kesalinghubungan lebih baik bagi merangsang pertumbuhan ekonomi Sarawak menjelang 2030 dan seterusnya.

“Saya yakin dengan peningkatan jumlah perbelanjaan awam dan lebih banyak dana disuntik kepada ekonomi kita daripada belanjawan tahunan serta inisiatif Pembiayaan Alternatif, ekonomi kita boleh mencatatkan pertumbuhan lima hingga enam peratus tahun ini.

“Kita perlu mencapai sekurang-kurangnya enam peratus pertumbuhan setahun jika mahu menjadi negeri maju pada 2030,” katanya.

Mengenai sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini, Abang Johari berkata ia perayaan yang dinanti-nantikan setiap tahun bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Cina, tetapi juga kaum-kaum lain di Sarawak.

“Saya benar-benar berharap rakan-rakan masyarakat Cina akan mengambil peluang untuk  menikmati hidangan dan makanan kegemaran masing-masing, berjumpa ahli keluarga dan rakan-rakan. Jadikan juga masa ini untuk membawa keceriaan kepada mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.

Sarawak katanya, merupakan tempat semua kaum bebas mengamalkan budaya, tradisi dan agama mereka tanpa halangan.

“Kita meraikan dan menemui kekuatan dalam kepelbagaian bukannya membiarkan ia memecahbelahkan kita. Bagi kita, kepelbagaian adalah keindahan dan kekuatan bukan perpecahan.

“Ambillah peluang sempena perayaan Tahun Baharu Cina ini untuk mengeratkan silaturahim antara kita dan semoga Sarawak akan terus harmoni dan rakyatnya saling hormat-menghormati.

“Bagi pihak saya sendiri, isteri dan seisi keluarga saya ingin mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada seluruh anak Sarawak daripada kaum Cina di mana sahaja saudara dan saudari berada ketika menyambut perayaan Tahun Baharu Cina pada tahun ini,” katanya.

Advertisement