Anda di sini

Solskjaer mempertahankan dirinya, akui tidak kesal menurunkan Marcus

Advertisement
SOLSKJAER
SOLSKJAER

MANCHESTER, England: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mempertahankan dirinya dari dakwaan di mana beliau mementingkan dirinya sendiri dengan keputusan tidak sewajarnya menurunkan Marcus Rashford ketika menentang Wolves dalam aksi Piala FA Inggeris.

Rashford, penyerang antarabangsa England, tidak dapat beraksi sehingga tiga bulan selepas mengalami kecederaan di bahagian belakang pada perlawanan pusingan ketiga kejohanan itu, yang dimenangi 1-0 oleh United.

Bekas penyerang England dan kelab Arsenal, Ian Wright berkata minggu ini, Solskjaer, yang berada dalam tekanan untuk memulihkan nasib kelab, memberi keutamaan kepada keperluan beliau sendiri berbanding pemainnya.

United berada di tangga kelima Liga Perdana, lima mata di belakang Chelsea dalam saingan kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

Tetapi Solskjaer menegaskan Rashford cukup cergas untuk diturunkan menentang Wolves, di mana pemain berusia 22 tahun itu dikeluarkan selepas hanya 16 minit dalam padang.

“Saya tidak pernah meletakkan diri saya terlebih dahulu berbanding pasukan,” kata Solskjaer. “Saya sentiasa meletakkan pasukan dan kelab sebelum perkara lain.

“Marcus ada mengalami rasa tidak selesa di bahagian belakangnya sejak menentang Burnley, dua minggu sebelum perlawanan ini (menentang Wolves).

“Kami ada menjalani pemeriksaan, memantau keadaan beliau, tiada kecederaan di sini, hanya rasa tidak selesa.”

Solskjaer juga berkata beliau ada bercakap dengan Rashford sebelum perlawanan itu.

“Saya mengadakan perbincangan dengan beliau dua hari sebelum perlawanan dan memberitahunya saya akan merehatkan beliau,” kata Solskjaer. “Beliau berasa cergas dan sangat yakin dapat bermain jika diperlukan, beliau sekurang-kurangnya boleh bermain setengah jam kerana kami mahu meneruskan kemaraan pada pertandingan ini. Ia menunjukkan sikap Marcus.”

Solskjaer berkata beliau tidak berasa kesal menurunkan Marcus.

“Ia adalah sebahagian apa yang anda lakukan untuk Man United.  Setiap kali anda bermain, anda memberikan segala-galanya.

“Saya juga pernah mengalami beberapa kecederaan bersama kelab dan ia adalah apa yang boleh anda banggakan apabila anda seorang pemain Man United.”

Masalah terbesar Solskjaer sekarang ialah bagaimana untuk menangani ketiadaan penyerang utama beliau dalam usaha untuk memburu empat tangga teratas liga di akhir musim.

United kelihatan tumpul di jentera serangan tanpa Rashford apabila tewas 0-2 kepada Liverpool minggu lepas, dengan Anthony Martial dan Mason Greenwood antara pilihan untuk perlawanan lewat menentang Burnley. — AFP

Advertisement