Anda di sini

Pasukan dibentuk serah BSH kepada penerima pedalaman, tiada buku akaun

Advertisement
 Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Datuk Safar Untong (empat kiri) menyampaikan baucar BSH kepada Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Tony Koh (empat kanan) untuk diagihkan kepada penerima di bahagian pedalaman Tawau.
BANTUAN: Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Datuk Safar Untong (empat kiri) menyampaikan baucar BSH kepada Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Tony Koh (empat kanan) untuk diagihkan kepada penerima di bahagian pedalaman Tawau.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah dan Persekutuan bekerjasama membentuk satu pasukan untuk masuk ke setiap daerah di kawasan pedalaman bagi menyerahkan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada penerima yang belum memiliki akaun bank dan sukar untuk keluar.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Safar Untong berkata, seramai 9,380 penerima BSH akan diberikan wang masing-masing sebanyak RM300 seorang melalui baucer tunai yang akan diurus oleh pasukan itu yang terdiri daripada wakil Pejabat Daerah, Pejabat Kewangan Persekutuan (FFO), pegawai Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, semua penerima BSH daripada kumpulan itu dijangka mendapat wang masing-masing selewat-lewatnya pada 15 Mac depan.

“Hari ini kita mengadakan mesyuarat penyelarasan untuk penyerahan bantuan sara hidup bilangan bakal penerima 9,380 orang dan ini adalah penerima yang berada di daerah pedalaman yang mana mereka ini tidak mempunyai buku akaun atau tiada akaun bank, jadi hari ini kita selaraskan bersama dengan FFO, pejabat-pejabat daerah, LHDN serta bank yang akan menyelesaikan ini ialah BSN.

“Mesyuarat kita pada hari ini adalah untuk selesaikan dua perkara, pertama memastikan bahawa wang ini sampai dan selamat diterima para penerima yang kedua, kita mahu memastikan mereka akan membuka akaun, jadi pada tahun depan program seterusnya tidak perlu lagi kita serahkan secara tunai begini, tinggal dimasukkan ke dalam akaun sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat penyelarasan bantuan BSH bersama agensi-agensi kerajaan negeri dan Persekutuan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) semalam.

Turut hadir Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd. Nor dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah, Datuk Datu Rosmadi Sulai.

Safar berkata, secara keseluruhan terdapat seramai 350,766 penerima BSH di Sabah tahun ini yang akan menerima wang melalui akaun bank masing-masing.

Sementara itu, Samsuni berkata penyerahan BSH kepada penerima di kawasan pedalaman membuktikan kerjasama Persekutuan dan negeri amat baik di Sabah untuk memudahkan rakyat yang memerlukan.

“Bagi saya ini merupakan satu platform yang saya hargai dan terharu sebab ada kerjasama, inilah yang kita dapat lihat bagaimana Persekutuan dan juga negeri kita dapat bekerjasama kerana kita di Persekutuan menentukan daripada segi dasar  dan bantuan sementara pelaksanaan di peringkat negeri.

“Dengan adanya kolaborasi yang kita adakan pada hari ini saya rasa lepas ini tidak timbul isu sesetengah di peringkat bawah mengatakan kita tidak peduli kerana semua memperoleh hak dan kita pula macam apa yang ditekankan oleh SKN tadi kita haruslah berkhidmat, itu tanggungjawab kita,” katanya.

Advertisement