Anda di sini

Kemahiran anak muda terus diperkasa

Advertisement
 Shafie (empat kiri) menyampaikan surat tawaran kepada salah seorang pelajar JPSM pada majlis itu. Turut kelihatan Yusof (empat kanan).
TAWARAN: Shafie (empat kiri) menyampaikan surat tawaran kepada salah seorang pelajar JPSM pada majlis itu. Turut kelihatan Yusof (empat kanan).

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Kementerian Pelajaran dan Inovasi terus memperkasa keupayaan kemahiran anak muda untuk lebih berdaya saing di peringkat yang lebih tinggi.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kolaborasi dengan institusi kemahiran dan pemain industri antara inisiatif penting yang dilaksanakan kerajaan.

Menurutnya, ia bagi membantu lebih ramai anak muda di negeri ini mendapat peluang untuk meningkatkan keupayaan dalam pelbagai bidang kemahiran.

"Inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kemahiran anak muda antara isu paling penting yang perlu direalisasikan.

"Usaha ini untuk memastikan kita mempunyai tenaga kerja mencukupi untuk memenuhi keperluan sektor perindustrian di peringkat negeri Sabah," katanya kepada media di sini.

Terdahulu, Shafie menyaksikan majlis Menandatangani Nota Kolaborasi di antara Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara JPSM dengan syarikat Petra Energy Berhad.

Pada majlis itu, seramai tujuh pelajar JPSM meerima tawaran melanjutkan pelajaran peringkat diploma di UniKL Malaysia France Institute dalam jurusan otomotif manakala dua lagi pelajar JPSM ditawarkan menyambung pengajian di UniKL British Malaysian Institute.

Beliau berkata, kolaborasi itu adalah satu inisiatif yang dirangka dalam pelan kerajaan negeri untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehan golongan muda di Sabah.

"Selepas ini para pelajar yang terpilih boleh melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

"Kita akan melaksanakan usaha ini secara berperingkat untuk memenuhi keperluan pada masa akan datang," jelasnya.

Sementara itu, Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr. Yusof Yacob menggesa universiti dan kolej tempatan di Sabah mengambil langkah yang sama dengan mengadakan kolaborasi dengan pusat-pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).

Menurutnya, kerjasama dengan syarikat-syarikat besar juga penting bagi meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan TVET.

Turut hadir, Pengarah JPSM Sabah Zainudin Aman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petra Energy Berhad Datuk Anthony Bujang dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UniKL Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su'ud.

  • oleh
  • Advertisement