Anda di sini

PRN12: Dr Sim dan enam lagi penyandang SUPP pertahan kerusi masing-masing 

Advertisement
Dr Sim merakamkan gambar wakil pengamal media dan pemimpin masyarakat Cina pada Malam Media Tahun Baru Cina 2020 pada Ahad. - Gambar Tan Song Wei
Dr Sim merakamkan gambar wakil pengamal media dan pemimpin masyarakat Cina pada Malam Media Tahun Baru Cina 2020 pada Ahad. - Gambar Tan Song Wei

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dato Sri Dr Sim Kui Hian akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah yang disandangnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 akan datang. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan malam media anjuran Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian di sini Ahad lalu. 

Selain kerusi Batu Kawah, enam lagi penyandang juga akan mempertahankan kerusi masing-masing pada PRN12 nanti. 

Mereka terdiri daripada Lo Khere Ching (Batu Kitang), Datuk Francis Harden Hollis (Simanggang), Dato Seri Huang Tiong Sii (Repok), Datuk Ding Kuong Hiing (Meradong), Datuk Sebastian Ting (Piasau) dan Datuk Lee Kim Shin (Senadin). 

“Apa yang boleh saya katakan ialah penyandang dari SUPP akan mempertahankan kerusi masing-masing dan calon selebihnya akan diumumkan secara berperingkat,” katanya yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan. 

Tambah Dr Sim, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah meminta beliau menghantar senarai calon PRN12. 

Tetapi tegasnya beliau tidak dapat mendedahkan sekarang sehingga memandangkan tarikh pilihan raya masih belum diketahui. 

Terdahulu pada majlis tersebut, Dr Sim menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan terus menyokong industri media tempatan menerusi pelbagai kolaborasi dan aktiviti seperti Anugerah Kewartawanan Kenyalang. 

Menyedari cabaran dihadapi dalam landskap media termasuk peralihan kepada platform digital untuk menyebarkan berita, Dr Sim percaya syarikat media memainkan peranan besar untuk menyebarkan maklumat yang tepat kepada umum. 

“Saya berterima kasih kepada media dan persatuan Cina yang memainkan peranan kepada pembangunan Sarawak. 

“Saya yakin, sektor ini akan terus menyokong pembangunan negeri ini,” katanya. 
 

Advertisement