Anda di sini

Pencuri dicekup selepas kembali semula ke pasar raya

Advertisement
Suspek diikat sebelum diserahkan kepada polis kerana mencuri.
Suspek diikat sebelum diserahkan kepada polis kerana mencuri.

KUCHING: Seorang lelaki yang dikesan pernah mencuri menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dicekup pekerja sebuah pasar raya di Batu 7, Kota Sentosa sebelum diserahkan kepada polis pada petang Ahad. 

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditangkap sekitar jam 3 petang oleh pekerja pasar raya berkenaan. 

"Sebelum ini pengadu perasan bahawa lelaki tersebut pernah mencuri barang melalui rakaman CCTV. 

"Suspek ditangkap oleh pekerja pasar raya berkenaan sebelum diserahkan kepada polis kerana pernah melakukan curi dalam pasar raya beberapa bulan lepas," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambah Aidil, semasa tangkapan dibuat tiada barang-barang curi dijumpai bersama suspek. 

Bagaimanapun, dedahnya, terdapat rakaman CCTV yang dilihat suspek mencuri beberapa tin mentega dalam pasar raya berkenaan beberapa bulan lepas.

Ekoran itu, tegasnya, suspek akan direman untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. 

Selain itu, beliau memberitahu, suspek turut mempunyai lima rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan. 

  • oleh
  • Advertisement