Anda di sini

PBT harus menguasai ilmu teknologi dan internet untuk perkhidmatan cemerlang

Advertisement
 Jaujan menerima cenderahati daripada Amrullah.
CENDERAHATI: Jaujan menerima cenderahati daripada Amrullah.

 

TAWAU: Kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus meningkatkan kedayaupayaan dari segi penguasaan ilmu teknologi dan internet supaya dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, setiap kakitangan awam terutamanya di peringkat PBT sentiasa bersedia mempelajari setiap ilmu-ilmu terkini supaya boleh menyeimbangkan dengan tahap pemikiran dan pengetahuan rakyat sekarang.

"Kita sedia maklum rakyat pada hari ini tidak sama dengan rakyat 60 tahun lalu kerana mereka lebih mengikuti perkembangan teknologi yang semakin berkembang dan senario ini menjadi satu cabaran besar kepada semua kakitangan awam.

"Oleh itu, kakitangan PBT harus memperlengkapkan diri dari segi ilmu pengetahuan terutamanya menguasai akses komunikasi digital, Internet dan apa sahaja ilmu demi memberikan perkhidmatan yang berkualiti selari perkembangan semasa," katanya

Beliau berkata semasa merasmikan 'Bengkel Goal Setting' Majlis Perbandaran Tawau (MPT), di sini semalam.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, negeri Sabah sememangnya mempunyai kekayaan sumber dan alam semulajadi yang menjadi tarikan para pelabur dan pelancong luar negara.

"Dengan kekayaan itu, kita memerlukan tenaga kerja yang mahir dalam mengurus dan mentadbir kekayaan yang kita ada supaya boleh diurus dengan lebih proaktif dan cemerlang.

"Kita di peringkat kerajaan hanya membuat dasar tetapi yang menjalankan dan menjadi pelaksana ialah penjawat awam terutamanya di peringkat PBT supaya sumber-sumber yang ada dapat dikendalikan dengan baik dan terurus," katanya.

Mengulas mengenai bengkel yang dijalankan oleh MPT, beliau berkata bengkel ini satu pendekatan yang baik dan selari dengan hala tuju kepimpinan kerajaan negeri Sabah.

"Kerajaan negeri juga sudah melancarkan rancangan hala tuju negeri dari segi sektor pembangunan ekonomi, pelancongan, prasarana dan pembangunan modal insan.

"Sudah tentu dengan adanya rancangan hala tuju ini kita memerlukan mereka yang mahir dalam membantu membangunkan setiap perancangan yang sudah dirancang dan dengan adanya bengkel ini juga kakitangan PBT sudah mengetahui tugas-tugas yang mereka perlu lakukan," katanya.

Menurutnya, selalu yang menjadi permasalahan di setiap PBT termasuklah masalah jalan raya, sistem perparitan dan kebersihan. Inilah yang menjadi kekangan PBT terutamanya di kawasan setinggan yang berada dalam lingkungan perkadaran.

"Masalah sampah yang selalu menjadi isu di kawasan ini, walaupun pihak PBT sudah menguatkuasakan seperti mengadakan peraturan dengan mengenakan denda tetapi masih lagi tidak membantu mengatasi masalah ini.

"Oleh itu, pihak PBT perlunya mempunyai kaedah yang wajar untuk golongan seperti ini seperti mengadakan kempen-kempen kesedaran dan memberikan pengetahuan tentang bahayanya sampah terhadap kesihatan manusia sekiranya tidak menjaga kebersihan," katanya.

Jaujan juga mengharapkan setiap PBT harus mengadakan kempen seperti ini supaya kakitangannya sentiasa didedahkan dengan ilmu yang baharu selari dengan kemajuan yang ada.

"Kita akan meneruskan setiap program yang dapat membantu meningkatkan pendidikan setiap warganya di PBT sehinggakan dapat mengatasi kehendak rakyat yang semakin mengikut teknologi semasa," katanya.

Presiden MPT Datuk Amrullah Kamal berkata, bengkel yang julung kali diadakan ini dapat memberikan semangat yang baharu di tahun 2020 ini dalam menyediakan perkhidmatan dan prasarana untuk pelanggan di MPT.

"Dengan status MPT yang semakin maju dan berkembang, kita sentiasa mengikuti arus pembangunan supaya dapat memuaskan hati rakyat di Tawau khasnya.

"Kita perlukan pembaharuan dari semua segi, meskipun terdapat kekangan kewangan tetapi kita tidak boleh jadikan itu alasan, kita perlu mencari kaedah-kaedah untuk menambahkan hasil kewangan di peringkat PBT," katanya.



 

  • oleh
  • Advertisement