Anda di sini

Kayuhan basikal 26km Labuan, Sabah, Brunei warnai Sambutan Hari Wilayah

Advertisement
 Simsuddin, Amir dan Fary (kiri) ketika penyampaian hadiah.
HADIAH: Dari kanan: Simsuddin, Amir dan Fary (kiri) ketika penyampaian hadiah.

LABUAN: Kayuhan Kibar Bendera Wilayah Persekutuan dilepaskan di Dataran Labuan kelmarin bagi menandakan Sambutan Hari Wilayah 2020 pada 1 Feb depan serentak dengan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bertemakan ‘Sayangi Wilayahku’.

Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Sri Amir Hussien berkata kayuhan itu melibatkan perjalanan 26km yang disertai 250 pengayuh basikal dari Labuan, Sabah dan Brunei dianjurkan Kelab Berbasikal Road Cyclist Labuan.

“Kempen ini dijuga diisi pelbagai program lain yang berasaskan kesihatan di samping upacara menaikkan tiga bendera iaitu bendera Malaysia, Wilayah Persekutuan dan Labuan,” katanya.

Amir berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan Peringkat WP Labuan yang merupakan salah satu pengisian program Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Tahun 2020.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman dan Pengerusi Pakatan Harapan Labuan Simsuddin Sidek.

Program lain ialah ‘Car Free Day Zumba/Fitness Dance’, Perarakan Semarak Wilayahku Charity and Fun Walk, nyanyian lagu Negaraku serta Maju dan Sejahtera 300 kanak-kanak Tadika.

Tarian Zumba dianjurkan Kelab Sukan, Kebudayaan dan Kebajikan Perbadanan Labuan.

Manakala perarakan semarak wilayahku dijayakan 43 kontinjen melibatkan 1800 peserta yang terdiri daripada jabatan kerajaan, swasta, sekolah, kampong dan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) bagi perjalanan santai di sekitar bandar.

Sementara upacara menaikkan bendera dikendalikan bersama oleh Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Maritim.

Bendera yang digunakan dalam kempen itu disumbangkan sektor swasta melibatkan Petronas, Labuan Financial Services Authority (LFSA) dan Ujana Kewangan.

Sementara itu Fary dalam ucapan alu-aluannya menyatakan kempen itu dijalankan sebagai wadah menyemai rasa kebanggaan bendera yang merupakan simbol kecintaan kepada Negara di kalangan warga Wilayah Persekutuan.

“Di samping itu, kempen ini adalah untuk menyemarakkan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dengan kibaran bendera di seluruh pulau ini yang secara tidak langsung menaikkan semangat muhibah serta mengeratkan integrasi di kalangan warga,” katanya.

Fary mengajak penduduk agar mengibarkan bendera sepanjang 1-29 Februari sempena Hari Wilayah Persekutuan Tahun 2020.

Beberapa hadiah turut disampaikan bagi kategori pertandingan sepanduk, penyertaan paling ramai dan perarakan.

Pertandingan sepanduk dimenangi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan, disusuli Jabatan Bekalan Air di tempat kedua dan SK Pekan 2 di tempat ketiga.

Manakala penyertaan paling ramai dimenangi SK Sungai Lada, disusuli Institut Latihan Perindustrian (ILP) di tempat kedua dan MAIWP di tempat ketiga. Sementara perarakan dimenangi Giat Mara disusuli ILP di tempat kedua dan ketiga GiatMARA.


 

  • oleh
  • Advertisement