Anda di sini

Hanya 45 bunga api dibenar dijual secara umum: Mazlan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 45 bunga api jenis ‘pop-pop’ dan ‘happy boom’ dibenarkan untuk dijual secara umum, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

Beliau berkata perkara itu telah diluluskan Kementerian Dalam Negeri bagi mengimport, menyimpan dan berniaga bunga api untuk jualan bersempena musim perayaan di negara ini.

“Daripada jumlah itu, 36 jenis bunga api dibenarkan dijual secara umum manakala sembilan lagi dijual secara bersyarat.

“Peniaga kecil dan pasar raya dibenarkan menjual 36 jenis bunga api itu dengan syarat mempunyai tempat simpan selamat dan lesen yang diperakui seperti pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mazlan berkata antara sembilan jenis bunga api itu ialah Happy Boom Red Cracker, Happy Boom Celebration dan Happy Boom Shoot Cake, yang boleh dibeli melalui syarikat pengimport dengan memenuhi syarat ditetapkan.

Beliau berkata jenis bunga api itu juga tidak dibenarkan dijual oleh peniaga kecil, peruncit, pasar raya atau ejen serta kepada pembeli berusia kurang 18 tahun dan secara dalam talian serta sebarang aplikasi media sosial.

“Peruncit hanya dibenarkan untuk menjual bunga api jenis ‘pop-pop’ sahaja dan premis makanan tidak dibenarkan menjual sebarang jenis bunga api.

“Bagi mengelakkan gangguan dan bahaya kepada orang lain, had tempoh bermain mercun adalah tidak melebihi jam 12 tengah malam dan hanya boleh bermain di kawasan lapang serta selamat,” katanya.

Bagaimanapun, Mazlan menegaskan larangan bermain mercun dan bunga api masih berkuat kuasa sehingga kini dan tertakluk di bawah Akta Bahan Letupan 1957. — Bernama

Advertisement