Anda di sini

RM4.25 bilion untuk Sabah tahun ini: Azmin

Advertisement
 Azmin berucap pada majlis itu.
BERUCAP: Azmin berucap pada majlis itu.

MEMBAKUT : Sebanyak RM4.25 bilion diperuntukkan kerajaan persekutuan untuk negeri  Sabah tahun ini kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.

Beliau berkata, peruntukan tersebut adalah untuk tujuan pembangunan khususnya infrastruktur di Sabah.

Jelas beliau, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan telah mengenal pasti enam buah negeri yang memerlukan peruntukan besar dan antaranya itu termasuk Sabah dan Sarawak.

"Peruntukan pembangunan untuk Sabah telah dinaikkan kepada RM4.25 bilion untuk tahun 2020 berbanding sebelum ini iaitu hanya RM3 bilion kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahu Sabah memerlukan dana yang besar untuk pembangunan.

"Peruntukan tersebut bukan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis tetapi ianya sudah diluluskan di Dewan Parlimen berbulan yang lalu. Fokus sekarang adalah untuk melaksanakan pembangunan kerana peruntukan sudah ada, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas satu majlis di kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Arifin Arif di Kampung Pimping, petang tadi (Jumaat).

 Azmin berkata sesuatu kepada pemberita ketika ditemui pada majlis itu.
TEMUBUAL: Azmin berkata sesuatu kepada pemberita ketika ditemui pada majlis itu.

Hadir sama, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun; Adun Lumadan, Matbali Musah; Adun Kemabong, Jamawi Jaafar;  Adun Kuala Penyu, Datuk Limus Jury dan Adun Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Dalam perkembangan berkaitan, Azmin memberitahu, kerajaan persekutuan akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan rakyat di negeri Sabah mendapat manfaatnya.

"Kita akan terus menjalin kerjasama yang baik dengan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal agar rakyat di negeri ini mendapat manfaatnya, " katanya.

  • oleh
  • Advertisement