Anda di sini

Perbadanan Labuan anjur Pertandingan Kampung Cantik 2020

Advertisement
 Dr. Fary (empat kiri) bersama peserta rombongan Program Cruise Trip anjuran Perbadanan Labuan baru-baru ini.
ROMBONGAN: Dr. Fary (empat kiri) bersama peserta rombongan Program Cruise Trip anjuran Perbadanan Labuan baru-baru ini.

LABUAN: Perbadanan Labuan bakal menganjurkan Anugerah Rakan Pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr. Fary Akmal Osman berkata, anugerah yang bakal diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad itu menyediakan lima kategori iaitu kategori Hotel, Restoran, Media, Jabatan Kerajaan dan Individu.

"Para peserta akan dinilai berdasarkan kriteria seperti aktif mempromosi Labuan, menyediakan pelbagai makanan menarik kepada para pelancong, memberi sokongan dan aktif mengadakan program-program pelancongan serta mempunyai produk-produk yang berkualiti sebagai tarikan pelancong ke Labuan sempena VM 2020.

"Penyertaan akan mula dibuka selepas pengumuman yang dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan dijangka ditutup selepas sambutan Hari Malaysia tahun ini," katanya.

Selain itu, Perbadanan Labuan juga katanya bakal mengadakan pelbagai acara dalam masa terdekat bagi menarik kedatangan pelancong.

"Kita akan mengadakan Pertandingan Kampung Cantik dan peruntukan awal telah disalurkan kepada 27 Ketua-Ketua Kampung untuk memulakan kerja-kerja mencantikkan kampung di samping terdapat beberapa kampung yang sudah mula melaksanakan persiapan seperti kampung Patau-Patau 1 dan kita berharap kampung lain terlibat aktif dalam program itu.

"Perbadanan Labuan juga sedang memberi imej baharu kepada Hotel Labuan yang terbiar sebagai salah satu tarikan pelancong dengan mengadakan acara seperti pertunjukan lampu, memasang bendera gergasi dan poster agar ia menjadi lokasi mengambil gambar kepada pelancong serta penduduk tempatan.

"Pada bulan Mac, kita juga bakal menganjurkan Festival Layang-Layang Antarabangsa Siri 2 dan pada yang sama menerima kunjungan seramai 20 Duta-duta Besar dari Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Program Cruise Trip bersama Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Pengerusi-Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan rakan-rakan media, Ahad lalu.

Justeru itu, katanya, Perbadanan Labuan bersama Kementerian Luar Negeri sedang membuat persiapan rapi bagi merancang acara-acara sempena lawatan rasmi duta-duta berkenaan.

Beliau turut berharap semua pihak dapat memberikan sokongan dan kerjasama bagi menyumbang kepada kemajuan sektor pelancongan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Dr Fary tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha gigih memastikan pelbagai program sempena VM2020 berjalan lancar.

Advertisement