Anda di sini

Wakil rakyat kerajaan lebih mudah bawa pembangunan

Advertisement
 Ewon dan pimpinan UPKO yang hadir menunjukkan isyarat 'dua' yang merujuk kepada calon WARISAN, Datuk Karim Bujang.
DUA: Ewon dan pimpinan UPKO yang hadir menunjukkan isyarat 'dua' yang merujuk kepada calon WARISAN, Datuk Karim Bujang.

BONGAWAN : Wakil Rakyat kerajaan lebih mudah membawa pembangunan di kawasan yang diwakili masing-masing kerana diberikan peruntukan tahunan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan di Sabah akan diberikan peruntukan sebanyak RM1.1 juta daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah pada tahun ini untuk melaksanakan projek kecil infrastruktur asas dan program sentuhan kasih.

"ADUN Bongawan dan ADUN Membakut serta ADUN-ADUN Kerajaan yang lain akan diberikan peruntukan RM1.1 juta tahun ini. Kementerian saya dapat menyalurkan peruntukan ini dan diurus sendiri oleh Wakil Rakyat kerana mereka berada dalam parti kerajaan. Saya percaya Ahli Parlimen kerajaan juga diberikan sejumlah peruntukan pembangunan bagi kawasan yang diwakili.
 
"Maka dalam pilihanraya kecil Kimanis ini, tiada pilihan yang lebih baik lagi selain memilih calon yang akan menjadi Wakil Rakyat kerajaan, iaitu Datuk Karim Bujang," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Ramah Mesra Dengan Ahli-Ahli UPKO Bongawan di Kg Kinolosodon, Bongawan, di sini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah calon Warisan Datuk Karim Bujang, Presiden UPKO Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Timbalan Presiden Senator Datuk Donald Mojuntin, Ahli Parlimen Papar Ahmad Hassan dan ADUN Paginatan Datuk Abidin Madingkir.

Ewon yang juga Naib Presiden UPKO berkata, beliau telah menjalankan tugas mengunjungi banyak kampung di Bongawan dan Membakut dalam beberapa hari ini dan mendapati isu pembangunan, khususnya infrastruktur asas dan kemudahan ameniti sosial menjadi isu besar.

"Pada tahun lalu, saya telah melawat beberapa kampung di Bongawan dan Membakut di mana penduduk kampung telah menyuarakan permasalahan dan keperluan pembangunan. Apabila saya melawat semula kampung-kampung ini, saya berbangga kerana sebahagiannya telah diselesaikan apabila KPLB Sabah menyalurkan peruntukan.

"Saya tahu masih banyak keperluan pembangunan kecil bukan hanya di Kimanis, tetapi juga di kampung-kampung luar bandar di seluruh Sabah. Pastinya keperluan ini lebih mudah diurus sekiranya Wakil Rakyat berada dalam parti kerajaan dan menguruskan peruntukan yang disalurkan oleh kementerian," katanya.

Ewon berkata, rakyat Sabah bertuah mempunyai Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang sentiasa prihatin dengan keperluan pembangunan luar bandar yang disyorkan oleh KPLB Sabah.

"Pada tahun lepas, KPLB Sabah telah mengemukakan peruntukan tambahan  kerana kita menerima banyak permohonan pembangunan infrastruktur asas kecil dam pembasmian kemiskinan.

"Maka, pada sidang Dewan Undangan Negeri  (DUN) pada Ogos 2019, Datuk Shafie selaku Menteri Kewangan telah memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM15.9 juta.

"Tambahan peruntukan ini telah menyelesaikan sebahagian daripada masalah-masalah yang dikemukakan kepada kementerian.

"Saya tahu masih begitu banyak keperluan pembangunan kita. Sebab itu juga saya tidak akan berhenti berusaha untuk berbincang dengan rakan-rakan sejawatan di Kerajaan Persekutuan, khususnya KPLB Persekutuan agar lebih banyak peruntukan disalurkan kepada Sabah," tambah beliau.

Ewon berharap rakyat Kimanis akan memberikan sokongan besar kepada Datuk Karim Bujang agar menjadi Wakil Rakyat kerajaan untuk kesinambungan pembangunan di daerah tersebut.

 

  • oleh
  • Advertisement