Anda di sini

Wanita Thailand terlepas hukuman gantung 

Advertisement
Peguam Shankar Ram sedang menjelaskan mengenai perubahan hukuman kepada anak guamnya.
Shankar menjelaskan perubahan hukuman kepada anak guamnya.

KUCHING: Seorang wanita warganegara Thailand yang disabitkan atas kesalahan mengedar dadah terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan mengenepikan hukuman terdahulu dan menerima rayuannya di Kuching, hari ini.

Naphaporn Tangjit, 60, sebaliknya dikenakan hukuman penjara lapan tahun selepas sidang panel hakim Mahkamah Persekutuan menerima pindaan pertuduhan daripada mengedar kepada memiliki dadah. 

Sidang panel hakim yang terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat, Tan Sri Azahar Mohamed, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat juga dimaklumkan bahawa tertuduh merupakan penghidap HIV.

Tertuduh juga menghadapi masalah sakit tulang belakang, sakit kulit dan membuat lawatan sebulan sekali ke Hospital Umum Sarawak. 

Justeru, pertuduhan yang terdahulunya di bawah Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 254) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama hari ini dipinda ke Seksyen 12(2)/39A(2) ADB 1952. 

Sebelum ini, tertuduh didakwa mengedar 1928.4 gram dadah jenis Metamfetamina pada 1 November 2015, jam 9 malam di Pejabat Unit Khas Pemeriksaan Penumpang, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nahra Dollah manakala tertuduh diwakili peguam, Shankar Ram dan Russell Lim. 

  • oleh
  • Advertisement