Anda di sini

Sesi pemilihan petinju SUKMA Sarawak pada 8 Februari depan

Advertisement
RAHMAN



KUCHING: Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) akan mengadakan pemilihan atlet untuk mewakili Sarawak pada SUKMA Johor 2020.

Menurut Presiden SABA, Datuk Rahman Lariwoo pemilihan diadakan secara perlawanan tinju (sparring) itu akan bertempat di pusat latihan Sekolah Henry Gurney, Puncak Borneo pada 8 Februari depan.

“Kita mempelawa petinju-petinju berpotensi dari semua pusat latihan tinju di seluruh negeri untuk menyertai sesi pemilihan itu.

“Ia akan diadakan selama sehari bermula dari pagi hingga petang dan akan dikendalikan oleh Ketua Jurulatih Herman Musa dan dibantu jurulatih Majlis Sukan Negeri Sarawak, Wilbur Andogan, jurulatih Sapok Biki dan Joseph Harry,” kata Rahman hari ini.

Katanya, meskipun skuad tinju Sarawak sudah mempunyai petinju bayangan seramai sembilan atlet, namun SABA masih mahu membuat pemilihan itu kerana enggan terlepas pandang atlet yang benar-benar berpotensi untuk menyumbang pingat.

Pada masa sama, pemilihan itu juga sebagai peringatan kepada petinju bayangan untuk tidak terlalu selesa dan yakin dengan kedudukan mereka. 

“Kita juga akan mengumumkan barisan kejurulatihan untuk SUKMA 2020 sebaik sesi pemilihan itu selesai pada hari tersebut.

“Untuk pendedahan, kita memang ada perancangan membawa atlet berlatih di luar negara. Dua lokasi dalam pertimbangan kita iaitu Filipina sebagai pilihan pertama atau Thailand.

“Bagaimanapun, tarikh bila kita akan ke sana perlu dibincangkan bersama barisan jurulatih terlebih dahulu,” tambah Rahman lagi.

SUKMA 2020 Johor akan diadakan dari 11 hingga 19 Julai.

Kontinjen Sarawak akan mengambil bahagian dalam semua 32 acara yang dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu iaitu 17 sukan wajib dan 15 sukan pilihan.

Acara sukan wajib ialah olahraga, hoki, memanah, wushu, akuatik, bola sepak, menembak, karate, gimnastik, tenpin boling, skuasy, pencak silat, berbasikal, boling padang, badminton dan pelayaran.

Manakala sukan pilihan adalah kanu, tinju, ragbi, petanque, bola keranjang, judo, bola jaring, bola tampar, muay, sepak takraw, golf, kriket, e-sport, tenis dan angkat berat.
 

  • oleh
  • Advertisement