Anda di sini

Penganggur dipenjara dua bulan kerana baling tukul ke arah adik 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap adiknya dengan cara membaling sebuah tukul.

Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad menetapkan demikian memandangkan tertuduh, Shah Hafizan Badrul Ikhsan, 34, tidak pernah melakukan kekerasan terhadap adik beradiknya sebelum ini, selain telah bertindak secara kompulsif semasa hari kejadian. 

Menurutnya juga, mangsa dalam kes ini juga tidak menghadapi sebarang kecederaan yang serius. 

Justeru, tertuduh diarahkan menjalani hukuman penjara selama dua bulan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326(a) kanun sama.

Mahkamah juga menetapkan agar hukuman dijalan bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 3 Disember tahun lalu. 

Pada 2 Disember tahun lalu, jam 3.15 petang di rumah mereka di Kampung Sungai Bedil Besar, tertuduh meminta bantuan adiknya yang berusia 15 tahun untuk menghulurkan gunting kepadanya.

Namun, permintaan itu tidak didengar oleh adiknya.

Tertuduh kemudian naik berang lalu bertindak membaling sebuah tukul ke arah adiknya sehingga ia terkena bahagian kakinya.

Akibat kejadian itu, adiknya dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan dilaporkan mengalami luka, lebam dan bengkak pada kaki kanan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruthra Raj manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement