Anda di sini

14 Januari sebutan lanjut kes lelaki dituduh cuba bakar rumah abang

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 14 Januari ini untuk sebutan lanjut kes seorang lelaki yang dituduh melakukan khianat dengan cuba membakar rumah abangnya.

Manakala tertuduh diperintahkan dibebas dengan jaminan RM4,000 berserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Dandan Taigi, 41, dari Piasau Utara di sini telah didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh melakukan khianat dengan cuba membakar rumah menggunakan surat khabar dan kotak telur yang telah dibakar dan mencampakkannya berhampiran sebuah tong gas dengan niat hendak menyebabkan kerosakan ke atas rumah milik Bujang Taigi, 46.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 4.50 petang, 8 Ogos 2019 di sebuah rumah di Piasau Utara di sini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan salah tertuduh direkodkan.

Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon agar kes ini disebut lanjut di hadapan hakim Mahkamah Sesyen.

Majistret Md Syafique Md Hilmie membenarkan permohonan itu dan memerintahkan kes ini disebut lanjut di hadapan Mahkamah Sesyen.

Advertisement