Anda di sini

27 notis dikeluarkan Jabatan Kesihatan terhadap pelbagai kesalahan rokok

Advertisement
 Pegawai kesihatan menunjukkan tanda larangan merokok yang mengikut spesifikasi yang betul.
TANDA LARANGAN: Pegawai kesihatan menunjukkan tanda larangan merokok yang mengikut spesifikasi yang betul.

TAWAU: Sebanyak 27 notis kehadiran ke mahkamah dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan dalam operasi larangan merokok di kedai makan yang telah dikuatkuasa tahun 2020, di sini semalam.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Rahman Sampe berkata, operasi dijalankan dalam dua sesi bermula 10 pagi hingga 12 tengahari dan 8 malam hingga 10 malam melibatkan 32 kakitangan daripada Jabatan Kesihatan Tawau.

"Operasi itu berjaya mengeluarkan notis mahkamah terhadap tujuh kesalahan merokok di kedai makan, 19 premis tidak memasang tanda larangan merokok dan satu kesalahan tidak memastikan tiada orang merokok di premis jagaannya," katanya dalam kenyataan medianya, di sini semalam.

Rahman berkata, semua pesalah yang diberikan notis kehadiran ke mahkamah supaya hadir ke pejabat kesihatan berdekatan untuk menukar notis berkenaan kepada kompaun sebanyak RM250 untuk setiap kesalahan.

"Hal ini kerana, mereka yang membuat rayuan awal akan diberikan pengurangan daripada kompaun asal yang sudah diberikan kepada semua pesalah terbabit," katanya. 

Beliau juga menasihatkan semua pemilik kedai makan supaya memastikan memaparkan tanda larangan merokok mematuhi rekabentuk dan saiz yang ditetapkan dengan peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

"Pemilik kedai makan juga harus memastikan tidak ada orang merokok di premis mereka manakala perokok juga dinasihatkan supaya mematuhi peraturan tidak merokok atau menghisap vape di kawasan larangan merokok," katanya.

Menurutnya, kesemua yang diberikan notis didapati bersalah dibawah Peraturan 11(1)(d) merokok di kedai makan, Peraturan 12(1)(a) gagal memasang tanda larangan merokok dan Peraturan 12(1)(b) tidak memastikan tiada orang merokok di premis jagaannya. 

  • oleh
  • Advertisement