Anda di sini

Gabungan dinamik seni tari & seni suara di pentas ‘Dansa Dan Sing’

Advertisement
 Barisan peserta, juri tetap dan pengacara yang memeriahkan penerbitan musim pertama pertandingan realiti ‘Dansa Dan Sing’ yang akan bersiaran mulai 5 Januari depan. — Gambar Astro
PROGRAM REALITI BAHARU: Barisan peserta, juri tetap dan pengacara yang memeriahkan penerbitan musim pertama pertandingan realiti ‘Dansa Dan Sing’ yang akan bersiaran mulai 5 Januari depan. — Gambar Astro

BARU-BARU ini, Astro Ria telah melancarkan sebuah lagi pertandingan realiti berjudul ‘Dansa Dan Sing’ yang menggabungkan elemen dinamik seni tari dan seni suara sebagai kriteria utama untuk penilaian barisan juri profesional di pentas mingguan.

Pertandingan yang mengangkat dua cabang seni ini bakal menilai persembahan setiap peserta berdasarkan rentak serasi menerusi cabaran tarian dan nyanyian.

Musim pertama ‘Dansa Dan Sing’ juga bakal menyaksikan persaingan sengit di antara 10 barisan artis tanah air yang terdiri daripada penyanyi, pelakon dan selebriti internet popular di Malaysia iaitu Arja Lee, Shiha Zikir, Atilia Haron & Yasmin Hani, Sophia Liana, Chubb-E, Wani Kayrie, Nik Qistina, Raja Syahiran, W.A.R.I.S dan Harris Baba.

Setiap peserta yang bertanding turut diiringi oleh koreografer dan kru tarian atau ‘troopers’ pilihan masing-masing untuk menyahut cabaran mingguan berdasarkan tema yang ditetapkan.

Bagi memeriahkan lagi penganjuran musim pertama ini, guru tari dan koreografer terkenal yang cukup sinonim dengan penerbitan perintis program realiti di Malaysia, Linda Jasmine dan seorang lagi ikon masyhur dalam bidang rekaan fesyen negara, Datuk Rizalman Ibrahim telah diberi mandat sebagai Juri Tetap musim pertama.

Seorang juri jemputan profesional juga turut diundang khas pada setiap minggu untuk menyertai juri tetap bagi mengadili persembahan para peserta.

Manakala selebriti popular, Sherry Al Hadad telah dipertanggungjawabkan sebagai Pengacara untuk musim ini.

Beliau juga turut ditemani oleh seorang lagi selebriti yang bakal mengendalikan pentas utama selaku Pengacara Bersama.

Pasangan pengacara yang bakal digandingkan bersama Sherry hanya akan diumumkan pada konsert minggu pertama ‘Dansa Dan Sing’ sebagai sebahagian daripada kejutan.

Juara ‘Dansa Dan Sing’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro.

Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM25 ribu beserta trofi.

Pemenang tempat keempat dan kelima juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing-masing bakal membawa pulang RM10 ribu dan RM5 ribu beserta trofi.

Siaran langsung konsert ‘Dansa Dan Sing’ selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal dipancarkan secara eksklusif setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 5 Januari 2020 di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Untuk pilihan yang fleksibel, program ini juga turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan perkhidmatan ‘on demand’.

Selain itu, klip sedutan aktiviti perkembangan para peserta ketika membuat persiapan dan latihan menjelang konsert mingguan turut dapat ditonton melalui liputan harian ‘Kapsul Dansa Dan Sing’ pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 30 Disember.

Penerbitan ‘Dansa Dan Sing’ ini turut disokong oleh Gempak dan Ria X yang selaku Rakan Digital serta ERA sebagai Rakan Radio Rasmi.

Advertisement