Anda di sini

Penduduk Sungai Bangat didedahkan cara penyembelihan ayam mengikut syarak

Advertisement
 Peserta Kursus Penyembelihan Ayam bersama Osman (empat kanan), Kim Hock Chuntuah @ Firdaus Abdullah (empat kiri) dan Pegawai KEMAS Labuan, Gilbert Julian (tiga kanan).
KENANGAN: Peserta Kursus Penyembelihan Ayam bersama Osman (empat kanan), Kim Hock Chuntuah @ Firdaus Abdullah (empat kiri) dan Pegawai KEMAS Labuan, Gilbert Julian (tiga kanan).

LABUAN: Seramai 50 orang peserta menjayakan Kursus Penyembelihan Ayam anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Bangat dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Labuan dan Surau Al Mubarakah, Kampung Sungai Bangat, baru-baru ini.

Pengerusi MPKK Sungai Bangat, Osman Dullah, berkata kursus itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada penduduk kampung mengenai cara penyembelihan haiwan atau ayam mengikut syarak dan hukum Islam.

"Kursus ini diharap dapat mendidik umat Islam di kampung ini cara penyembelihan yang diwajibkan ke atas setiap haiwan yang halal dimakan untuk memastikan sumber yang dimakan halal dan bersih.

"lmu yang diperolehi juga penting untuk memastikan haiwan yang disembelih tidak mengalami kesakitan yang terseksa ketika disembelih sekaligus mengelakkan daripada jangkitan kuman yang mungkin ada dalam darah haiwan tersebut," katanya.

Program itu juga, katanya, adalah sebahagian daripada pelbagai program yang dilaksana MPKK bagi melengkapi penduduk kampung dengan pelbagai ilmu pengetahuan daripada pelbagai aspek kehidupan.

"Program ini adalah sebahagian dari program yang dilaksanakan di bawah geran MPKK daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk penganjuran sebarang program yang menjana pendapatan ekonomi masyarakat kampung, meningkatkan keceriaan atau kesejahteraan kampung.

"Diharap para penduduk kampung akan memberikan sokongan dengan apa sahaja program yang dirancang MPKK pada masa hadapan agar segala peruntukan yang disalurkan pihak kerajaan dapat dimanfaatkan bersama,"katanya.

Pada program itu, para peserta turut didedahkan teori penyembelihan seperti hukum, kaedah dan hikmah penyembelihan mengikut cara Islam oleh tiga orang penceramah jemputan daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan.

Turut hadir Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 2, Kim Hock Chuntuah @ Firdaus Abdullah dan Pegawai KEMAS Labuan, Gilbert Julian.

Advertisement