Anda di sini

10 premis diambil tindakan di bawah anti pencatutan

Advertisement
 Anggota KPDNHEP Labuan membuat pemeriksaan di sebuah gudang pemborong, baru-baru ini.
PERIKSA: Anggota KPDNHEP Labuan membuat pemeriksaan di sebuah gudang pemborong, baru-baru ini.

LABUAN: Para peniaga pada semua peringkat diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) yang dilaksanakan di Semenanjung Malaysia bermula Januari 2020.

Ketua Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan Annual Kanari, berkata pelaksanaan PSP dijangka memberi impak secara tidak langsung ke atas harga barangan di pasaran Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kita tidak mahu apabila PSP berjalan ada peniaga atau pemborong memanipulasi program yang dilaksanakan kerajaan untuk mengaut keuntungan berlebihan,”katanya selepas membuat pemeriksaan di salah sebuah gudang pemborong, baru-baru ini.

Pihak KPDNHEP, katanya mengambil tindakan pro aktif dengan melaksanakan penguatkuasaan di bawah OPS CATUT 6.0 (PSP) bermula 1 Disember 2019 hingga 30 Jun 2020 bagi menangani aktiviti pencatutan dan manipulasi harga dengan memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan secara tidak terkawal.

“Pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan dijalankan di semua peringkat perniagaan di seluruh negara merangkumi peringkat pengilang, pemasaran am, pengedar, pemborong dan peruncit dengan memberi tumpuan kepada tindakan terhadap ketidakpatuhan ke atas undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kementerian.

“Pihak yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta boleh didenda sebanyak RM100,000,” katanya lagi.

Tambah Annual, sepanjang 2019 KPDNHEP Labuan menjalankan 7,697 pemeriksaan premis dan 10 premis diambil tindakan di bawah antipencatutan serta 12 notis turut dikeluarkan.

“Sebanyak 96 tindakan kes dihasilkan melibatkan kesalahan pelbagai akta dengan nilai rampasan bernilai RM202,035.05 dan nilai kutipan kompaun sebanyak RM117,900.00,” tambahnya.

Advertisement