Anda di sini

Masalah enjin hambat impian Freddy raih podium di AKOC 2019 Macau

Advertisement
Freddy bergambar bersama jenteranya sebelum perlumbaan bermula.
Freddy bergambar bersama jenteranya sebelum perlumbaan bermula.

KUCHING: Kegagalan enjin jentera berfungsi dengan baik menjadi penghalang hasrat pelumba go kart antarabangsa dari Sarawak, Freddy Lawan untuk menutup tirai Kejohanan Terbuka Karting Asia (AKOC) 2019 di atas podium.

Pada pusingan kelima AKOC, Grand Prix Kart Antarabangsa Macau 2019 di Trek Karting Coloane yang berlangsung dari 5-8 Disember lepas, Freddy sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat dalam kategori Terbuka Veteran.

Tempat pertama kategori itu dimenangi pelumba tuan rumah, Lam Kam San manakala tempat kedua dan ketiga dirangkul pelumba Hong Kong, Leung Wai Ming dan Tam Yuk Ho.
“Saya bermula baik pada sesi latihan dengan menduduki tempat kedua dan tempat ketiga pada pusingan kelayakan.

“Namun pada saringan pertama, saya mengalami kemalangan kerana cuba untuk mengelak dari bertembung dengan pelumba dari Jepun. Akibat dari kemalangan itu, jentera saya mengalami kerosakan teruk dan saya terkeluar dari perlumbaan saringan pertama.

“Saya cuba bangkit memberikan cabaran pada saringan kedua dan ketiga namun keadaan jentera saya sudah tidak berada pada tahap optimum seperti sebelumnya. Begitupun, saya masih mampu berada di kedudukan ketiga,” katanya ketika ditemuramah baru-baru ini.

Pada perlumbaan pra final, Freddy sekali lagi dicabar pelumba Jepun sama memaksa beliau menamatkan perlumbaan itu di tempat keempat.

Namun, musibah sebenar pelumba berpengalaman itu muncul pada perlumbaan final.

“Pada awal perlumbaan, enjin saya berfungsi dengan baik dan saya berjaya menduduki tempat kedua. 

“Namun, segalanya serba tidak menjadi selepas kabel minyak saya terputus berpunca dari masalah teknikal pada ‘throttle shutter’ jentera yang saya pandu.

“Lebih memburukkan keadaan, pelumba Jepun yang menyebabkan saya terbabas turut mengalami kemalangan dan patah tulang belakang.

“Akibatnya saya terpaksa kembali semula ke pit-stop untuk membaiki jentera dan bermula di belakang pelumba lain kerana terpaksa akur dengan peraturan ditetapkan oleh penganjur,” jelasnya lagi.

Menurut Freddy, meskipun jenteranya telah dibaiki namun prestasinya kurang memuaskan sepanjang perlumbaan final itu memaksa beliau akur menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Akui kecewa dengan keputusan itu, Freddy menegaskan beliau sepatutnya boleh menamatkan perlumbaan itu dalam tiga tempat teratas jika jenteranya berfungsi dengan mantap.

“Saya cukup yakin boleh menamatkan perlumbaan di tempat kedua atau ketiga kerana masa yang saya catat sangat baik. Tahap keyakinan saya juga sangat tinggi. Namun situasi yang berlaku di luar kawalan saya.

“Apapun, saya tetap berpuas hati dengan prestasi saya kerana masih mampu mencabar pelumba lain meskipun jarang berlatih kerana tidak mempunyai litar khas di sini.

“Di sinilah pentingnya pembinaan litar lumba di Kuching bagi membolehkan saya menjalani latihan dengan lebih intensif dan membuat persiapan sepenuhnya untuk menghadapi perlumbaan,” tambah Freddy lagi.

Katanya, penganjur AKOC juga bersetuju untuk menjadikan Kuching sebagai salah satu venue perlumbaan sekiranya bandaraya ini mempunyai litar lumbanya sendiri.

Ini jelasnya akan memberi manfaat besar kepada Sarawak dari aspek pelancongan sukan selain pada masa sama akan membantu mengangkat lagi sukan permotoran di negeri ini.

Perlumbaan pusingan pertama AKOC bagi musim 2020 akan bermula pada Februari di Jakarta, Indonesia.

  • oleh
  • Advertisement