Anda di sini

Maxis bekerjasama dengan Allo untuk meningkatkan liputan fiber di Malaysia

Advertisement
 Rodzi Ahmad (dua kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Gokhan Ogut disaksikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (kiri), Raja Tan Sri Dato Seri Arshad Raja Tun Uda dan Tan Sri Leo Moggie (kanan).
TERUS MARA: Rodzi Ahmad (dua kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Gokhan Ogut disaksikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (kiri), Raja Tan Sri Dato Seri Arshad Raja Tun Uda dan Tan Sri Leo Moggie (kanan).

KUALA LUMPUR: Maxis dan Allo Technology Sdn Bhd (Allo) menandatangani Perjanjian Akses semalam bagi penyediaan Perkhidmatan Rangkaian Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB).

Di bawah perjanjian ini, Maxis dan Allo, anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), akan bekerjasama menyediakan akses lebih besar kepada sambungan fiber untuk lebih ramai penduduk dan perniagaan di Cyberjaya, Bangsar South di Lembah Klang dan Jasin di Melaka.

Menandatangani bagi pihak Maxis adalah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gokhan Ogut, manakala Allo diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rodzi Ahmad.

Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Dato Seri Arshad Raja Tun Uda, Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan turut hadir menyaksikan upacara menandatangani dan pertukaran perjanjian.

Perjanjian dengan Allo merupakan yang keempat ditandatangani Maxis selepas TM, SACOFA dan CT Sabah.

Bercakap mengenai perjanjian ini, Gokhan berkata Maxis telah memperluaskan jejak perkhidmatan tetap dengan agresif sebagai platform untuk terus melancarkan penawaran dan penyelesaian baru syarikat.

“Dengan kerjasama ini, kami mengambil satu lagi langkah penting dalam menyampaikan penyelesaian konvergen kami yang disokong oleh pengalaman peribadi yang tidak dapat ditandingi kepada lebih banyak kediaman dan perniagaan di Malaysia.

“Kami mempunyai cita-cita yang jelas untuk menjadi syarikat penyelesaian konvergen terkemuka di Malaysia dan perkongsian ini memperkuatkan cita-cita tersebut,” katanya.

Sementara itu, Amir berkata selepas perjanjian ini ditandatangani, Maxis menjadi Penyedia Perkhidmatan Retail (RSP) TNB yang pertama untuk sambungan HSBB di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Saya berasa gembira melalui kerjasama dengan Maxis ini yang menguntungkan semua pihak.

“Maxis telah memberikan komitmen mereka untuk menandatangani perjanjian balas yang menyaksikan Allo sebuah anak syarikat milik penuh TNB berupaya menggunakan infrastruktur rangkaian milik Maxis untuk menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya.

Tambah Amir lagi, sepanjang 70 tahun kewujudan TNB, syarikat berusaha untuk menjadikan kehidupan rakyat lebih sejahtera.

Maka katanya, menerusi inisiatif Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP, syarikat melalui Allo merancang untuk mengembangkan RSP syarikat ke seluruh Semenanjung Malaysia bermula dengan negeri Melaka.

Advertisement