Anda di sini

Kabinet Sarawak lulus Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang

Advertisement
Fatimah bercakap pada sidang di pejabatnya hari ini mengenai Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang di Sarawak. Gambar Roystein Emmor
Fatimah bercakap pada sidang di pejabatnya hari ini mengenai Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang di Sarawak. Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Kabinet Negeri  meluluskan Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang di Sarawak pada mesyuarat kabinet, semalam. 

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata bantuan itu merupakan satu lagi langkah kerajaan negeri untuk membantu pesakit dari kumpulan B40 dan M40. 

Bantuan khas ini katanya akan mula dilaksanakan pada tahun 2020 dengan unjuran peruntukan sebanyak RM4, 673917.00 bagi tahun pertama  dan RM30,785,584.00  untuk tempoh lima tahun sehingga 2024. 

“Bantuan ini meliputi  bantuan klinikal dan bantuan sokongan dimana untuk bantuan klinikal pesakit akan dibantu bagi pemasangan Arteriovenous Fistula (AF) secara sekali beri iaitu maksimum RM3,000 untuk seorang pesakit. 

“Bantuan klinikal lain termasuklah, suntikan Erythropietin (EPO) maksimum RM240 sebulan untuk seorang pesakit dan rawatan hemodialisis maksimum RM200 seorang bagi setiap sesi rawatan atau RM2,400 sebulan. 

“Bantuan klinikal ini turut meliputi Continuos Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) maksimum RM2,800 sebulan untuk seorang pesakit sekiranya tiada slot untuk rawatan hemodialisis,” katanya pada sidang di pejabatnya di sini, hari ini. 

Tambah Fatimah, dari segi bantuan sokongan pula, bantuan khas ini meliputi penempatan 30 mesin hemodialisis baharu secara berperingkat untuk tempoh lima tahun (enam mesin setahun). 

Bantuan sokongan ini turut merangkumi bantuan pengangkutan RM50 untuk setiap sesi rawatan dengan keutamaan kepada pesakit luar bandar serta bantuan transplan RM5,000 untuk kos penginapan dan pengangkutan bagi pesakit yang menjalani pemindahan buah pinggang di Hospital Kuala Lumpur. 

“Bantuan khas ini adalah dalam bentuk rawatan dimana pusat tempat pesakit menjalani rawatan akan menuntut bayaran daripada kerajaan menerusi  Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS). 

“Justeru, pesakit warganegara Sarawak  tanpa kira umur yang tergolong dalam kumpulan B40 dan M40 serta bukan penjawat atau pesara awam dan bukan  pencarum PERKESO layak untuk memohon bantuan ini,” katanya. 

Bantuan menurut Fatimah akan diberikan mengikut keperluan pesakit dan permohonan dibuka kepada 100 pesakit baharu mulai tahun 2020 menerusi JKMS.

  • oleh
  • Advertisement