Anda di sini

Kuching mungkin dijadikan sebagai hab umrah

Advertisement
 (Dari kanan) Hii, Abdul Karim, Mohd Uzir dan Dayang Rozana pada pelancaran Akaun Satelit Pelancongan  (TSA) 2018 di Kuching semalam.
KEMUDAHAN: (Dari kanan) Hii, Abdul Karim, Mohd Uzir dan Dayang Rozana pada pelancaran Akaun Satelit Pelancongan (TSA) 2018 di Kuching semalam.

KUCHING: Kerajaan negeri sedang melihat kemungkinan untuk menjadikan Kuching sebagai hab umrah, ujar kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut beliau, sekiranya Kuching dijadikan hab umrah, maka jemaah dari Kalimantan akan mengambil penerbangan terus dari Kuching.

“Kuching berpotensi dijadikan hab umrah. Sekiranya rancangan ini menjadi kenyataan, jemaah dari Kalimantan yang hendak mengerjakan umrah akan mengambil penerbangan dari Kuching kerana pakej umrah di Malaysia adalah lebih murah daripada Indonesia,” ujar Abdul Karim.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas pelancaran Akaun Satelit Pelancongan (TSA) 2018 di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga sedang berusaha untuk menambah baik kesalinghubungan Sarawak.

“Kita harus mengakui bahawa cabaran terbesar dalam kesalinghubungan adalah kawasan yang terlibat, sama ada dari Semenanjung Malaysia atau kawasan lain di Malaysia atau dari rantau ASEAN.

“Penduduk di rantau ASEAN merangkumi kira-kira 600 juta orang dan jika kita sampai kepada populasi tersebut, ia adalah satu perkara yang bagus.

“Bagaimanapun, semua ini masih dalam proses perundingan dan adalah diharapkan kita dapat mengumumkan kesalinghubungan baharu tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Karim turut mengesahkan bahawa kerajaan negeri berada pada tahap akhir dalam perbincangan dengan syarikat penerbangan China berhubung proses menjalankan penerbangan terus dari Shenzhen ke Kuching.

“Kami kini sedang berada dalam proses terakhir dalam perundingan dan kami akan menamakan syarikat penerbangan tersebut apabila telah menandatangani perjanjian.

“Ia akan dinyatakan dalam masa terdekat, mungkin pada tahun depan,” ujarnya

Sementara itu, Abdul Karim berpendapat TSA akan menjadi sumber yang berguna dan tepat dalam rancangan kerajaan negeri untuk meletakkan Sarawak sebagai destinasi pelancongan pilihan, terutama dalam memulakan Pelan Induk Pelancongan Ketiga (2020-2035).

“Dengan TSA, kami berupaya untuk menilai barangan dan perkhidmatan pelancongan negeri mengikut piawaian antarabangsa, konsep dan klasifikasi dengan cara yang lebih tepat dan terperinci.

“Kerajaan negeri dan industri pelancongan pasti dilengkapi dengan data yang boleh dipercayai melalui TSA sebagai alat statistik yang kuat.

“Ia dapat membangunkan strategi dan polisi baharu yang berkesan untuk membawa manfaat ekonomi yang luas seperti peluang pekerjaan dan pertumbuhan pendapatan, selain memperoleh maklumat pelawat secara terperinci,” kata Abdul Karim.

Menurut beliau juga, memiliki TSA Wilayahnya sendiri merupakan penghor-matan bagi Sarawak.

“Oleh itu, Sarawak akan meneruskan kerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia untuk memastikan TSA sentiasa dikemas kini.

“Melaluinya, kerajaan negeri dan mereka yang berada dalam industri pelancongan akan dapat memanfaatkan TSA yang berguna dan berkualiti ini,” katanya.

Abdul Karim juga mendedahkan bahawa Sarawak Travel App yang merupakan satu aplikasi bersama antara kementeriannya dengan Sarawak Multimedia Authority akan siap untuk dilancarkan tidak lama lagi.

Ujarnya, aplikasi itu akan membolehkan kedua-dua pelancong tempatan dan antarabangsa mendapat akses mudah kepada tempat-tempat menarik di Sarawak.

Turut hadir Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Hii Chang Kee, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan Pemangku Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sarawak Dayang Rozana Abang Hassan.

Advertisement