Anda di sini

Perbicaraan semula kes lelaki miliki item pengganas 14 Januari depan

Advertisement
 Mohamad Alif (tengah) semasa diiringi balik ke tahanan oleh pasukan khas.
IRING: Mohamad Alif (tengah) semasa diiringi balik ke tahanan oleh pasukan khas.

KOTA KINABALU: Perbicaraan semula kes lelaki warga Indonesia berumur 21 tahun yang didakwa memiliki item berkaitan kumpulan pengganas di dalam telefon bimbitnya akan dijalankan 14 Januari depan.

Kes yang dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Marlina Ibrahim untuk sebutan semalam ditetapkan semula selepas permintaan pendakwaan.

Tertuduh, Mohamad Alif Sukari @ Yoga Fabrianto yang bekerja di ladang kelapa sawit didakwa memiliki barangan terbabit di Kampung Keritan Laut Keningau pada jam 1.15 malam 26 Mei.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana barangan berkenaan jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Kershanathan Pathmanathan memaklumkan mahkamah bahawa laporan penuh berkenaan kes itu belum selesai.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh yang sudah menjalani hukuman penjara selama empat bulan dan sebatan kerana kesalahan masuk ke negara ini tanpa dokumen akan terus ditahan sementara menunggu kes selesai.

Terdahulu, pada 21 Jun Mohamad Alif mengaku bersalah masuk ke negara ini secara haram di Mahkamah Sesyen di sini dan dijatuhi hukuman penjara selama empat bulan dan satu sebatan.

Tertuduh kemudiannya dibawa ke hadapan Marlina di Mahkamah Keningau pada 25 Julai dan mengaku bersalah kerana memiliki barang-barang berkaitan dengan kumpulan pengganas.

Beliau bagaimanapun menukar pengakuannya kepada tidak bersalah dengan melantik Farazwin Haxdy sebagai peguamnya.

Menurut sumber, 18 tangkapan mengikut Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dilakukan sepanjang tahun ini dengan membabitkan 13 warga Filipina dan dua rakyat Indonesia serta tiga warga tempatan.

Penangkapan dibuat oleh Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Kontinjen Sabah dan Bukit Aman.

  • oleh
  • Advertisement