Anda di sini

Wanita dipenjara tiga tahun dera anak saudara

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang wanita dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, kerana melakukan penderaan terhadap anak saudaranya sendiri.

Hakim Elsie Primus membuat keputusan itu terhadap Heslin Arpan, 46, yang mengaku bersalah mendera mangsa, 12, di sebuah kampung di Kota Belud pada 26 Oktober.

Tertuduh dihukum mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Fakta kes menunjukkan, doktor yang juga pengadu menemui kesan cedera, lebam dan tanda bengkak pada tangan, kaki dan paha kanak-kanak itu semasa pemeriksaan fizikal.

Selain tanda-tanda baharu, pengadu turut menemui kesan-kesan kecederaan pada bahagian belakang, lebam lama serta luka pada paha dan kedua-dua tangan mangsa.

Mangsa mengaku dengan pengadu bahawa dirinya selalu didera oleh ibu saudaranya (tertuduh), yang memukulnya dengan menggunakan batang besi dan batang kayu.

Malah, ibu saudaranya juga mencubit, menumbuk dan menendang mangsa serta tidak membenarkannya untuk tidur di dalam rumah, tetapi di luar rumah dengan kain sarung.

Selain itu, mangsa mendakwa tidak diberikan makanan ketika suami tertuduh bukan berada di rumah dan dia turut memberitahu keadaan itu kepada rakan sekolahnya.

Sebelum ini, tertuduh sendiri dikatakan bersetuju untuk menjaga mangsa selepas diminta berbuat demikian oleh ibu kepada kanak-kanak perempuan terbabit.

  • oleh
  • Advertisement