Anda di sini

Tujuh nelayan Vietnam didenda RM10,000, enam bulan penjara

Advertisement

KOTA KINABALU: Tujuh nelayan warga Vietnam didenda RM10,000 setiap seorang atau penjara enam bulan dan enam bulan penjara tambahan oleh Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin.

Kesemua tertuduh yang berumur antara 26 hingga 53 tahun mengaku bersalah di hadapan Hakim Elsie Primus kerana memiliki alat penangkap ikan timun laut tidak berlesen.

Mereka dihukum mengikut Seksyen 11 (3) (b) Akta Perikanan 1985 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh ditangkap semasa berada di bot nelayan tempatan, kira-kira 2.3 batu nautika Utara dari Pulau Tapukan, Malawali, Kudat pada 28 Oktober.

Dalam kes berasingan, lima nelayan Vietnam berumur 22 hingga 36 tahun, minta dibicarakan dengan tuduhan bersama kerana berhadapan dakwaan melakukan kesalahan serupa.

Mahkamah menetapkan 9 Januari untuk pengurusan kes dan menolak ikat jamin mereka yang ditahan pada hari dan masa sama kerana memiliki alat menangkap ikan tanpa lesen.

Lima lagi warga Vietnam lain, menghadapi pertuduhan bersama menggunakan kapal yang memaparkan nombor pendaftaran bukan milik kapal itu mengaku tidak bersalah.

Kelima-lima tertuduh terbabit yang berumur antara 27 hingga 41 tahun dan ditangkap berhampiran Pulau Mengalum pada 11 November itu pula mengaku tidak bersalah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 (3) (b) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM6 juta untuk setiap juragan dan RM600,000 untuk setiap anak kapal, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut menetapkan 9 Januari untuk pengurusan kes dan kesemua tertuduh diperintahkan terus berada dalam tahanan, sementara menunggu kes mereka selesai.

  • oleh
  • Advertisement