Anda di sini

Masalah sampah masih hantui isu banjir kilat di Melaka

Advertisement
 Kerja-kerja menaiktaraf rumah pam giat diusahakan ketika tinjauan fotoBernama di Rumah Pam Sungai Putat, Melaka semalam. — Gambar Bernama
CEGAH BANJIR: Kerja-kerja menaiktaraf rumah pam giat diusahakan ketika tinjauan fotoBernama di Rumah Pam Sungai Putat, Melaka semalam. — Gambar Bernama

MELAKA: Masalah pembuangan sampah yang tidak bertanggungjawab masih menghantui isu banjir kilat di negeri ini, yang terbaharu malam kelmarin apabila penduduk di Ayer Keroh di sini gusar apabila kawasan itu dilanda banjir kilat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata sememangnya terdapat kawasan yang selalu dilanda banjir kilat disebabkan sistem perparitan disumbat sampah dan pihaknya sering memberi penerangan masalah ini kepada penduduk terutama di Taman Seri Jati dan Taman Mas Merah.

Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Belia dan Sukan Melaka itu berkata hujan terlalu lebat selama kira-kira dua jam menyebabkan air terlalu banyak untuk disalur keluar dan sistem perparitan disumbat sampah menyebabkan air itu gagal disalurkan dengan berkesan.

“Saya mohon kepada semua pihak supaya jaga kebersihan dan tidak buang sampah merata-rata. Boleh berhubung dengan MPKK atau PBT (pihak berkuasa tempatan) sekiranya ada aduan tentang pembuangan sampah tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Banjir kilat yang surut sekitar jam 8 malam kelmarin menjejaskan lebih 10 kawasan antaranya Lebuh Ayer Keroh, Taman Muzaffar Shah, Kampung Sungai Putat, dan Bukit Beruang, dianggarkan melibatkan kira-kira 270 unit kediaman, kedai dan 25 unit kenderaan.

Pada 3 November lepas Bernama melaporkan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab sebagai berkata infrastruktur cegah banjir dibangunkan jutaan ringgit tiada makna sekiranya masyarakat tidak ambil peduli, antaranya membuang sampah sesuka hati sehingga infrastruktur itu gagal berfungsi.

Kerk berkata kerajaan negeri dan agensi berkaitan telah mengambil langkah jangka pendek dan panjang untuk mengatasi masalah banjir kilat ini antaranya pembersihan longkang berkala, naik taraf longkang dan mengubah suai sistem perparitan bagi penyaluran air lebih berkesan.

“Selain itu kami juga naik taraf rumah pam dan longkang di beberapa tempat seperti Sungai Putat, Taman Seri Jati, Taman Ara Permai, Bukit Beruang Bestari, Bukit Beruang Utama dan Taman Kerjasama,” katanya.

Mekanik motosikal Lee Chee Meng, 29, dari Taman Muzaffar Shah di sini berkata hujan lebat sekitar jam 5.30 petang hingga 7.30 malam kelmarin mengakibatkan banjir kilat dan antara yang buruk dalam tempoh dua tahun ini.

“Lebuh Ayer Keroh ini laluan utama masuk ke bandar Melaka, longkang memang ada, besar, tetapi saya tengok banyak sampah. Memang hujan lebat tetapi kalau sampah banyak susah keluarkan air. Cuti sekolah pula pelancong datang, ini susahkan pelancong juga,” katanya.

Pelajar Universiti Teknikal Malaysia, Melaka Nur Balqish Zulkarnain, 20, berkata banjir kilat itu berlaku secara tiba-tiba mengejutkan beliau bersama tiga rakan serumahnya di Taman Kerjasama, Bukit Beruang di sini kerana menurut penduduk setempat tiada banjir kilat teruk berlaku dalam 30 tahun kebelakangan ini.

“Nasib baik air tidak banyak masuk rumah, tetapi bila tengok air banjir itu kita dapat tengok banyak juga sampah yang dihanyutkan. Memang hujan lebat tetapi kalau sampah terlalu banyak dalam parit sudah tentu akan jadi banjir kilat,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan itu.

Seorang pekerja pembersihan S. Muniandy, 48, berkata beliau melihat masalah sampah dalam sistem perparitan ini tiada kesudahan sejak lebih 20 tahun berkhidmat untuk sebuah syarikat pembersihan di negeri ini dan pihaknya terpaksa bertindak menyedut sampah daripada sistem perparitan tersebut.

“Banjir kilat satu pasukan bawa lori pergi parit sedut sampah, memang banyak. Orang ramai tidak buang sampah dalam parit, tetapi buang merata-rata, bila hujan, sampah akan masuk dalam parit. Itu sebab banyak sampah dalam parit. Tolong buang sampah dalam tong sampah disediakan,” katanya. — Bernama

Advertisement