Anda di sini

Cipta bot daripada paip PVC, tong drum untuk redah banjir

Advertisement
 
Abdul Hafiz (kanan) bersama rakan Wan Ahmas Izhar, 28, menggunakan bot yang diperbuat daripada barangan terpakai seperti paip PVC dan tong plastik ketika ditemui di Kampung Bekok. - Gambar Bernama 

JERTIH: Kreatif. Itu gambaran tatkala melihat sebuah bot yang dicipta seorang pemuda menggunakan paip PVC dan tong drum plastik, sebagai ‘kenderaan’ meredah banjir di kampungnya, di sini.

Abdul Hafiz Musa, 36, berkata idea untuk membina bot sepanjang 2.13 meter itu timbul apabila kawasan kampungnya sering dinaiki air ketika musim tengkujuh dan dia cuba membina bot itu berpandukan cara yang dilihat di laman 'YouTube'.

"Bot ini saya bina sejak dua tahun lepas dengan hanya bermodalkan RM200 untuk membeli paip pvc manakala tong drum yang digunakan adalah tong terpakai yang dipotong dua untuk dijadikan tempat duduk kerana sifatnya yang mudah terapung.

"Bagi membina bot ini, saya mengambil masa kira-kira satu minggu untuk menyiapkannya dan pada awalnya bot ini hanya menggunakan pendayung untuk bergerak namun apabila melihat bot-bot fiber yang bergerak menggunakan enjin, saya cuba mencari inisiatif lain untuk membolehkan bot kecil ini turut mempunyai enjin yang bersesuaian dengan saiz bot," katanya kepada Bernama di sini.

Dengan menggunakan kepakarannya sebagai seorang tukang kimpal, Abdul Hafiz cuba mengubahsuai mesin pemotong rumput yang dibeli dengan harga RM600 untuk dijadikan enjin bot kerana saiznya yang kecil dan sesuai dengan bot terbabit, selain turut meletakkan pelampung sebagai alat bantuan kecemasan.

Abdul Hafiz berkata dia pada awalnya tidak yakin bahawa bot yang dibina itu mampu bergerak di atas air namun setelah mencubanya, bot itu terbukti mampu membawa muatan dan bergerak sejauh satu kilometer.

"Bot ini bukan sahaja digunakan untuk meredah air tetapi juga untuk membantu membawa keluar penduduk di Kampung Bekok, Jalan Pasir Akar yang terperangkap ketika banjir di laluan kecil yang tidak boleh dilalui oleh bot lain.

"Walaupun ianya bersaiz 'comel' tapi ia mampu membawa kira-kira dua orang dewasa pada satu-satu masa dan jika kanak-kanak ia boleh memuatkan tiga orang pada masa yang sama," katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata ini berkata bot comel miliknya itu sering menjadi perhatian orang ramai terutama kanak-kanak selain ada yang meminta untuk merasai pengalaman menaiki bot itu.

Di Besut, pembinaan kenderaan untuk meredah banjir bukanlah sesuatu yang baharu kerana pada tahun 2017, tular seorang pemuda yang merekacipta motosikal yang boleh meredah air sedalam 1.5 meter. - Bernama 

Advertisement