Anda di sini

Atletico Madrid perlu elak sebarang kesilapan

Advertisement
 Barisan kesebelasan utama pasukan Atletico Madrid pada aksi Liga Juara-Juara menentang Juventus pada 26 November lalu. — Gambar AFP
PERLU ELAK KESILAPAN: Barisan kesebelasan utama pasukan Atletico Madrid pada aksi Liga Juara-Juara menentang Juventus pada 26 November lalu. — Gambar AFP
SIMEONE
SIMEONE

MADRID: Cabaran Atletico Madrid untuk memenangi kejuaraan La Liga sudah sekian lama terkial-kial dan jika mereka tewas di tempat sendiri kepada Barcelona pada malam esok (Ahad), ia mungkin akan berakhir sebelum ia benar-benar bermula.

Barca duduk tiga mata di depan Atletico dalam carta liga dan ada baki satu perlawanan menentang Real Madrid, selepas perlawanan mereka pada Oktober lalu ditunda sehingga 18 Disember.

Ia bermakna kekalahan bagi Atletico pada hujung minggu ini akan memberi kelebihan enam mata ke atas pasukan lawan mereka, dengan kemungkinan bagi Real Madrid atau Barcelona untuk melanjutkannya kepada sembilan dengan kemenangan dalam perlawanan Clasico pada bulan depan.

Itu adalah jurang yang sangat sukar untuk dirapati, memandangkan pasukan Diego Simeone terpaksa bermain di tempat lawan di kelab dua pasukan teratas dalam separuh kedua musim ini, seterusnya membataskan keupayaan mereka untuk mengurangkan sebarang defisit.

Setakat ini prestasi mereka tidak menunjukkan sebarang kemungkinan untuk mencatatkan siri kemenangan yang konsisten.

Dalam kekalahan 1-0 mereka kepada Juventus pada Selasa lepas, Atletico gagal untuk menyempurnakan gol daripada 15 rembatan, yang menurut Opta adalah kedua tertinggi bagi mereka dalam mana-mana perlawanan di tempat lawan dalam Liga Juara-Juara dalam 16 musim.

“Kami adalah pakar dalam kesabaran dan usaha gigih,” kata Simeone kemudian.

“Pada satu ketika nanti, kami akan bermain dengan hebat dan menjaringkan banyak gol.”

Dalam La Liga, Atletico sudah tewas hanya sekali sahaja dalam 14 perlawanan, rekod terbaik dalam divisyen itu, tetapi mereka seri tujuh kali, sama-sama terbanyak dengan Osasuna.

Enam belas jaringan mereka adalah sebagus Alaves di tempat ke-13 dan lebih teruk berbanding Sevilla, Real Sociedad, Getafe, Granada, Levante, Valencia, Osasuna, Villarreal dan Real Betis, selain Barcelona dan Real Madrid.

Alvaro Morata menjaringkan enam gol dalam lapan perlawanan terakhirnya untuk kelab  tetapi tekanan ke atasnya untuk mengambil peluang sedikit yang dia perolehi adalah tinggi.

Sementara itu Diego Costa sudah lama hilang seni menjaringkan gol dan cedera, dan dijangka tidak akan bermain sekurang-kurangnya selama dua bulan lagi.

Ketika Atletico menandatangani Joao Felix untuk rekod 126 juta euro pada Julai lalu, harapan mereka ialah dia dapat mencetuskan dorongan serangan yang amat diperlukan.

Pemain berusia 20 tahun itu baharu sahaja pulih daripada masalah buku lali selama lebih sebulan, dan ketiadaannya telah meningkatkan jangkaan.

Felix diberi tugasan yang tidak dicemburui untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Antoine Griezmann, yang akan kembali ke kelab lamanya buat pertama kali sejak dia menyertai Barca pada musim panas lalu.

Tempoh beberapa bulan pertama Griezmann di Camp Nou tidak berjalan dengan lancar, impaknya dikurangkan oleh prestasi sederhana, ketidaktentuan posisi dan keraguan mengenai hubungannya dengan Lionel Messi.

Namun tanda menunjukkan, bukan untuk kali pertama, keserasian di depan pada Rabu lepas ketika menentang Borussia Dortmund, apabila Barca menang 3-0, dengan Messi, Griezmann dan Luis Suarez semua menepati sasaran.

“Banyak perbincangan mengenai ini, keserasian,” kata jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde. “Pemain yang bagus sentiasa memahami satu sama lain dan lama kelamaan mereka akan lebih memahami satu sama lain.” — AFP

Advertisement