Anda di sini

Penjenamaan semula UPKO bukan hal luar biasa

Advertisement
SHAFIE
SHAFIE

KOTA KINABALU: Penjenamaan semula Parti Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO) kepada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu disifatkan bukan hal luar biasa.

Ketua Menteri merangkap Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, langkah itu selari hasrat yang hendak dijayakan bersama.

“Dia (Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau) ada menghubungi saya mengenai perkara itu, (dan memaklumkan) keperluan penjenamaan semula dilakukan.

“Perkara itu bukanlah hal yang luar biasa sebab ‘kadang-kadang’ kita mahu sesebuah parti itu bukan hanya bersifat kaum atau anutan agama,” katanya, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Shafie percaya perubahan itu signifikan dalam menempuhi pelbagai cabaran mendatang dan lebih baik jika menjalani kehidupan secara inklusif.

Menurutnya, Madius ada memaklumkannya bahawa UPKO akan bersifat lebih terbuka dan bukan hanya untuk orang Momogun atau Kadazan Dusun Murut (KDM) sahaja.

“Parti ini kini lebih terbuka kepada semua masyarakat yang ada di Sabah dan kita alu-alukan pendekatan baharu UPKO sebagai salah satu parti komponen kita,” katanya.

Beliau berkata penyatuan rakyat dapat dilakukan jika bersifat inklusif, misalnya, WARISAN sebagai sebuah parti yang dianggotai masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

Terdahulu, Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri mengumumkan penjenamaan semula parti itu pada Persidangan Perwakilan Luar Biasa UPKO 2019, di sini, kelmarin.

  • oleh
  • Advertisement