Anda di sini

PGA rampas diesel bernilai hampir RM300,000

Advertisement
Anggota PGA menunjukkan diesel yang terdapat dalam sebuah kapal tunda.
Anggota PGA menunjukkan diesel yang terdapat dalam sebuah kapal tunda.

MIRI: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas diesel berjumlah 135,000 liter yang dianggarkan bernilai RM295,650 dalam serbuan di tepi Sungai Baong, Jalan Permaisuri di sini kira-kira jam 10 pagi Rabu. 

Pegawai Pemerintah Batalion 12 (BN12) PGA Superintenden Tan Hiap Seng berkata diesel terbabit ditemui pada tiga kapal tunda dan sebuah tongkang hasil pemeriksaan sepasukan pegawai dari Cawangan Risik Briged Sarawak PGA dan BN12 PGA Miri. 

"Pemeriksaan pada kapal tunda menemui diesel yang disimpan dalam kapal-kapal tersebut yang dipercayai telah diubah suai untuk menyimpan diesel. 

"Pemeriksaan selanjutnya terhadap penjaga setiap kapal tersebut telah gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan diesel dan tangkapan terhadap penjaga kapal dibuat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata serbuan terbabit menangkap seorang lelaki tempatan, dua lelaki warga Indonesia dan seorang warga India masing-masing berusia di antara 23 hingga 44 tahun. 

Katanya, jumlah anggaran nilai keseluruhan diesel termasuk kapal tunda dan tongkang adalah RM2,095,650. 

Rampasan dan tangkapan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Miri untuk tindakan lanjut dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tan menunjukkan kapal mengandungi diesel seludup yang diserbu oleh PGA.
Tan menunjukkan kapal mengandungi diesel seludup yang diserbu oleh PGA. 
  • oleh
  • Advertisement