Anda di sini

Giggs nikmati hari terbaik dalam hidupnya, dua gol Ramsey pastikan Wales ke Euro 2020

Advertisement
 Giggs (kanan) memeluk pemainnya, Joe Allen ketika meraikan kemenangan Wales pada aksi Kelayakan Euro 2020 menentang Hungary di Cardiff, Wales kelmarin. — Gambar AFP
MALAM HEBAT: Giggs (kanan) memeluk pemainnya, Joe Allen ketika meraikan kemenangan Wales pada aksi Kelayakan Euro 2020 menentang Hungary di Cardiff, Wales kelmarin. — Gambar AFP

CARDIFF, Wales: Ryan Giggs menganggap kelayakan Wales ke Euro 2020 sebagai salah satu hari terbaik dalam hidupnya selepas dua gol Aaron Ramsey memastikan kemenangan 2-0 ke atas Hungary pada perlawanan terakhir kelayakan Euro 2020 di sini Selasa lepas.

Ramsey, pemain tengah kelab Juventus di Itali, membuat penampilan kesebelasan utama yang pertama dalam kempen kelayakan selepas beberapa siri kecederaan dan menunjukkan apa yang dirindui oleh pasukannya apabila menjaringkan gol pada awal kedua-dua babak permainan.

Kemenangan bermakna Giggs, yang tidak pernah mempunyai peluang mewakili negaranya ke kejohanan besar sepanjang karier gemilang sebagai pemain, akhirnya boleh merasai pengalaman di kejohanan besar seperti Euro.

“Ia tidak ada yang lebih bagus lagi dari ini,” kata Giggs, yang memenangi 25 kejuaraan sebagai pemain Manchester United.

“Ini adalah salah satu hari terbaik dalam kehidupan saya.”

Wales melangkah ke peringkat separuh akhir Euro 2016 dan ketika menyamai pencapaian itu pada tahun hadapan pastinya satu tugas sukar walaupun melihat kelibat aksi cemerlang Ramsey dan juga seorang lagi pemain bintang, Gareth Bale.

Dua pemain bintang Wales itu bergandingan cantik untuk menghasilkan gol pembukaan pada minit ke-15 apabila Ramsey menanduk umpanan Bale.

“Saya terlepas banyak perlawanan musim ini tetapi ia sangat berbaloi untuk menjaringkan dua gol malam ini,” kata Ramsey.

“Kami beraksi dengan baik di Perancis (Euro 2016). Kami mempunyai inspirasi untuk mengulanginya.”

Wales masih memerlukan keajaiban apabila penjaga golnya, Wayne Hennessey beraksi tangkas menepis cubaan Dominik Szoboszlai dan Roland Sallai ketika Hungary memburu gol penyamaan sebelum rehat.

Bagaimanapun, harapan kebangkitan Hungary berakhir apabila Ramsey menjaringkan gol kedua seawal minit kedua selepas rehat.

“Beliau pemain kelas dunia,” kata Bale ketika merujuk sumbangan Ramsey. “Ia hebat untuk melihat beliau kembali beraksi dan beliau menunjukkan malam ini di mana beliau adalah seorang pemain yang hebat.”

Selepas itu, Wales mengawal permainan dan hampir menambah lagi beberapa gol dengan satu tendangan percuma Bale sedikit tersasar sebelum Daniel James melihat cubaannya juga tersasar.

Kemenangan ke atas Hungary boleh dianggap aksi terbaik pasukan sejak Giggs mengambil alih tugas sebagai jurulatih dua tahun lepas.

Beliau dikritik teruk selepas menggantikan Chris Coleman, terutama sekali selepas kekalahan kepada Croatia dan Hungary pada bulan Jun yang menyebabkan kempen kelayakan semakin tipis.

Beliau memuji respon pasukan di akhir kempen kelayakan apabila mengharungi lima perlawanan tanpa kalah untuk melangkah ke Euro buat kali kedua dalam sejarah mereka. — AFP

Advertisement